Titah adendum Najib: Izin rayuan peguam negara didengar 24 Mac

Titah adendum Najib: Izin rayuan peguam negara didengar 24 Mac

Pihak-pihak diarah memfailkan afidavit, hujah bertulis sebelum 10 Mac.

najib razak
Mahkamah Rayuan memberi izin kepada bekas perdana menteri Najib Razak untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum dikeluarkan Agong terdahulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Mac untuk mendengar permohonan peguam negara bagi izin merayu terhadap keputusan mahkamah rendah bahawa Najib Razak boleh memulakan prosiding semakan kehakiman berkait baki hukuman penjara bawah tahahan rumah.

Timbalan Pendaftar Wan Fatimah Zaharah Wan Yusoff turut memerintahkan pihak-pihak memfailkan afidavit dan hujahan bertulis sebelum 10 Mac.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mengesahkan perkara itu ketika dihubungi FMT.

Awal bulan ini, peguam negara turut memfailkan sijil perakuan segera untuk pendengaran kes itu.

Beliau memfailkan enam isu perundangan untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan dalam usaha mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lalu.

Mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Penghakiman 1964, izin hanya akan diberikan jika isu perundangan atau perlembagaan baharu melibatkan kepentingan awam akan dibangkitkan.

Dalam kenyataan, Pejabat Peguam Negara berkata, permohonan itu dibuat memandangkan percanggahan dalam tafsiran undang-undang oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

“Perkara ini menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mahkamah Rayuan memberi izin kepada Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum dikeluarkan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Hakim Firuz Jaffril dan Azhahari Kamal Ramli memutuskan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa afidavit Najib adalah berdasarkan keterangan dengar cakap, tidak lagi boleh bertahan berikutan keterangan baharu dikemukakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Mereka berkata, Najib memperoleh salinan titah adendum itu daripada Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16, susulan prosiding di Mahkamah Tinggi pada Julai.

Hakim Azizah Nawawi yang mempengerusikan panel Mahkamah Rayuan itu sebaliknya berpendapat Mahkamah Tinggi betul apabila memutuskan bahawa perintah mandamus tidak boleh diberikan terhadap lembaga pengampunan.

Azizah berkata, tiada peruntukan undang-undang yang boleh membuatkan lembaga berkenaan mengesahkan atau mendedahkan kewujudan perintah pengampunan, termasuk adendum berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.