
Kelvin Goh berkata, had potongan itu, kini maksimum 60% gaji kasar penjawat awam, patut dikurangkan kepada sekitar 40%.
Buat masa ini, penjawat awam boleh membuat potongan gaji bulanan untuk membayar pinjaman peribadi daripada bank serta agensi yang dibenarkan, termasuk Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa).
Goh berkata, penjawat awam patut menggunakan peraturan belanjawan 50-30-20 yang mencadangkan agar pekerja mengetepikan 20% gaji untuk simpanan, 30% bagi keperluan peribadi, dan 50% untuk belanja tetap seperti pinjaman, sewa dan bil utiliti.
“Penjawat awam tidak ada banyak wang yang tinggal untuk perbelanjaan seharian jika beri komitmen 50% gaji mereka hanya untuk bayar pinjaman,” katanya kepada FMT.
“Ini mewujudkan kesan domino yang mungkin memerlukan mereka bergantung kepada pinjaman jangka pendek tambahan, sama ada menerusi kad kredit atau perkhidmatan ‘beli sekarang, bayar kemudian’, untuk tampung gaya hidup.”
Goh berkata, bank-bank menawarkan program pinjaman jangka panjang dengan kadar faedah rendah kepada penjawat awam kerana golongan itu dianggap ‘berisiko rendah’, dan pembayaran semula dijamin menerusi potongan gaji automatik.
Ini menggalakkan penjawat awam meminjam jauh menjangkaui kemampuan mereka, seterusnya meningkatkan hutang.
“Segelintir penjawat awam cenderung meminjam sehingga sampai hadnya, kemudian guna kad kredit untuk tampung perbelanjaan seharian.
“Apabila mereka sampai peringkat tidak mampu buat bayaran minimum, mereka mungkin beralih kepada peminjam haram di luar sistem perbankan,” katanya.
Pada 17 Feb, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi M Bakri Majid mengesyorkan supaya had potongan gaji dikurangkan kepada 55%, melihat peningkatan jumlah penjawat awam yang diisytiharkan bankrap.
Setakat tahun lepas, 14.5% penjawat awam merupakan individu bankrap yang belum dilepaskan, meningkat daripada 10.3% direkodkan pada 2021.
Bakri berkata, segelintir perbelanjaan lain digalas penjawat awam – termasuk caruman dalam Amanah Saham Bumiputera dan Lembaga Tabung Haji, dan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) – bukanlah antara potongan yang dibenarkan, seterusnya mengurangkan lagi pendapatan boleh guna mereka.
Tidak perlu perubahan, kata Cuepacs
Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Nordin bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Bakri itu.
Beliau menyifatkan kadar kebankrapan tinggi ini terjadi akibat pengumpulan hutang luar oleh penjawat awam, yang menurutnya kerana mereka buta kewangan.
“Kadangkala, penjawat awam mempunyai pinjaman yang tidak ditunjukkan dalam slip gaji. Gaji bersih mereka mungkin nampak ‘cantik’, tetapi mereka tidak tahu cara kawal hutang luar,” katanya.
Goh dan Rahman masing-masing menggesa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) supaya menganjurkan program kecelikan kewangan untuk penjawat awam.
Rahman berkata, program berkenaan mesti mendidik penjawat awam mengenai perlunya mengelak daripada membuat pembelian yang tidak perlu, seterusnya mengakibatkan hutang berlebihan.
Goh mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan had 20% terhadap potongan gaji bagi pembayaran pinjaman peribadi, memandangkan 50% daripada kebankrapan dalam kalangan penjawat awam diakibatkan kegagalan mereka membayar hutang berkenaan.
Selain itu, katanya, agensi pinjaman seperti Angkasa tidak patut memberi pinjaman sekiranya mampu mengakibatkan seorang penjawat awam melanggar had 20% itu.
Menurutnya, pihak bank berada pada kedudukan lebih baik untuk menilai keupayaan peminjam untuk membuat pembayaran semula sebelum meluluskan pinjaman.