Najib ‘minta secara sopan’ KPMG tandatangan laporan kewangan 1MDB, kata bekas pengerusi

Najib ‘minta secara sopan’ KPMG tandatangan laporan kewangan 1MDB, kata bekas pengerusi

Firma audit itu enggan tandatangan laporan kewangan 1MDB 2013 memandangkan ia gagal menentusahkan pelaburan USD2.3 bilion dalam Brazen Sky Ltd.

Che Lodin Wok Kamaruddin (kiri) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak, mengarahkan pengurusan syarikat bekerjasama dengan KPMG dalam inkuiri auditnya.
PUTRAJAYA:
Najib Razak hanya membuat “permintaan secara sopan” supaya juruaudit 1MDB menandatangani laporan kewangan syarikat pada 2013, kata bekas pengerusi memberitahu Mahkamah Tinggi.

Memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri, Che Lodin Wok Kamaruddin berkata, beliau hadir dalam pertemuan bersama Najib di kediamannya, Langgak Duta, pada 15 Dis 2013, bersama bekas ketua pegawai eksekutif syarikat, Hazem Abdul Rahman, dan bekas ketua pegawai kewangan kumpulan (CFO), Azmi Tahir.

Turut hadir Johan Idris, yang ketika itu rakan kongsi urusan KPMG, dan dua lagi rakan kongsi firma audit berkenaan, Raslan Rahman dan Foong Mun Kong.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa KPMG enggan menandatangani laporan kewangan 1MDB pada 2013 selepas gagal mendapatkan jawapan wajar berkait kesahan pelaburan USD2.3 bilion 1MDB dalam Brazen Sky Ltd.

KPMG selepas itu digantikan dengan Deloitte.

Hari ini, Lodin berkata dalam pertemuan itu, Najib mengarahkan pengurusan 1MDB bekerjasama dengan KPMG mengenai inkuiri tersebut.

“Beliau juga meminta KPMG pergi ke Hong Kong untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

“Saya katakan kepada KPMG bahawa mereka perlu adil kepada kami dan bukannya meminta sesuatu yang kita tidak dapat sediakan,” kata Lodin.

Lodin memberitahu mahkamah bahawa, berbanding dengan keterangannya, Johon ada menggambarkan pertemuan tersebut seakan-akan dirinya “diancam” Najib, untuk menandatangani laporan kewangan terbabit.

Najib sendiri telah menafikan mengarahkan KPMG menandatangani laporan kewangan pada 2013 dan mengakui pengaudit tidak gembira dengan kegagalan 1MDB menyediakan dokumen mencukupi.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana RM2.28 bilion yang dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.