Kontrak cari MH370 masih sedang dimuktamadkan

Kontrak cari MH370 masih sedang dimuktamadkan

Kontrak misi pencarian baharu dengan Ocean Infinity masih sedang dimuktamadkan, kata menteri pengangkutan.

ocean infinity
Kerajaan pada dasarnya bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity untuk misi pencarian baharu, berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’. (Gambar Ocean Infinity)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan masih sedang memuktamadkan kontrak misi pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang hampir 11 tahun lalu, dengan Ocean Infinity.

Sungguhpun begitu, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan laporan media Britain bahawa syarikat penerokaan yang berpangkalan di UK itu memulakan pencarian di Lautan Hindi semalam.

“Saya mengalu-alukan langkah proaktif Ocean Infinity yang mengerahkan kapal ke kawasan itu untuk memulakan pencarian.

“Kami masih memuktamadkan kontrak kami. Kami baru mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara. Terdapat beberapa perubahan kecil yang perlu dibuat pada terma dan syarat,” katanya kepada pemberita pada majlis di ibu negara.

Loke pada Disember berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity untuk misi pencarian baharu, berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.

Menurut perjanjian itu, kerajaan tidak perlu bayar apa-apa kepada Ocean Infinity melainkan pesawat ditemui. Jika ditemui, kerajaan perlu bayar USD70 juta kepadanya.

Kehilangan MH370 kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam penerbangan. Pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Loke meyakini kepakaran Ocean Infinity dalam robotik maritim, mengatakan kerajaan percaya syarikat itu bersedia untuk mengetuai operasi pencarian.

“Ocean Infinity berasa sangat yakin kawasan pencarian sekarang lebih dipercayai kerana mereka meliputi kawasan yang luas sebelum ini, dan tiada pencarian dibuat di kawasan ini sebelum ini.

“Mereka meyakinkan kami bahawa mereka bersedia untuk mengambil risiko dan meneruskan pencarian,” katanya.

Cadangan Ocean Infinity fokus pada kawasan seluas 15,000 km persegi di selatan Lautan Hindi, berpandukan analisis data terkini.

Ditanya mengenai tarikh akhir pencarian, Loke berkata kontrak itu termasuk jangka masa, namun beliau tidak mendedahkan butiran khusus.

Sebelum ini, Loke berkata misi pencarian akan mengambil masa tiga bulan dan kontrak akan berlangsung selama 18 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.