Kementerian repot polis, Chegubard dakwa kain rentang promosi pluralisme

Kementerian repot polis, Chegubard dakwa kain rentang promosi pluralisme

Ahli Bersatu itu mempersoalkan keputusan Kementerian Sumber Manusia yang menggunakan gambar yang didakwanya sebagai gereja.

Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mendakwa grafik tersebut satu ‘usaha pluralisma dan liberalisma melampau’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia membuat laporan polis terhadap seorang ahli Bersatu yang mendakwa grafik pada kain rentang promosi satu sesi town hall mengandungi unsur pluralisme dan sekularisme.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Putrajaya pagi ini.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mempersoalkan keputusan kementerian menggunakan gambar yang didakwanya sebagai gereja sebagai latar belakang kain rentang town hall tersebut.

“Adakah selama ini kain rentang dan sepanduk program kerajaan ada letak imej masjid dan mereka kini nak tunjuk mereka pula boleh guna gambar gereja untuk tunjuk kesaksamaan agama?

Wakil kementerian berkata pereka grafik menggunakan aplikasi Canva, satu perisian yang menyediakan alat untuk menghasilkan grafik bagi media sosial dan pembentangan. (Gambar Facebook)

“Ini usaha pluralisma dan liberalisma melampau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Dalam laporan polis, wakil kementerian menjelaskan bahawa pereka grafik hanya menggunakan Canva, sebuah perisian yang menyediakan alat untuk menghasilkan grafik bagi media sosial dan pembentangan.

Sumber kementerian memberitahu FMT, pereka grafik tersebut memilih latar belakang itu selepas melakukan carian imej berkaitan “town hall” dalam perisian tersebut.

“Pereka grafik tidak memilih gambar gereja. Itu saya boleh sahkan. Dia hanya membuat carian ‘town hall’,” katanya sumber itu yang enggan dikenali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.