
Menteri Loke Siew Fook berkata, pihaknya mengadakan perjumpaan semalam, yang dihadiri syarikat kapal kargo, syarikat insurans, firma guaman, dan pihak berkepentingan lain, dengan fokus untuk mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan selain menangani permintaan pemilik kenderaan terbabit.
“Keutamaan kami kini adalah untuk mencari penyelesaian bersama syarikat kapal untuk melepaskan kereta berkenaan.
“Jumlah diminta mereka adalah beban yang agak tinggi untuk pemilik kereta berkenaan, jadi kami sedang cuba merunding jumlah yang lebih munasabah,” katanya dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Kapal itu terbakar di kedudukan 9 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh, Batu Pahat, dalam pelayaran ke Kota Kinabalu pada 3 Dis, memaksanya ditunda kembali ke Pelabuhan Klang. Beberapa kenderaan rosak dalam kejadian itu.
Pada 18 Feb lalu FMT melaporkan, pemilik kenderaan terbabit berkata mereka dimaklumkan perlu membayar 60% nilai kereta kepada syarikat perkapalan untuk mendapatkan kembali kereta mereka, tanpa mengira sama ada mengalami kerosakan atau tidak dalam kebakaran itu.
Seorang daripadanya dimaklumkan ejen perkapalan bahawa kereta berkenaan ditahan disebabkan klausa mengikut undang-undang maritim yang menyatakan, jika berlaku kebakaran atau kerosakan di laut, kerugian perlu ditanggung bersama syarikat kapal dan pemilik kenderaan.
Pemilik kereta terbabit berkata, ejen perkapalan tidak memaklumkan mereka mengenai klausa itu terlebih dulu, menyebabkan ramai tidak pasti siapa yang patut dipertanggungjawabkan.
Loke berkata, kebanyakan kereta yang tersadai atas kapal kargo berkenaan adalah dalam keadaan baik, tetapi memerlukan kelulusan pihak berkuasa sebelum boleh dilepaskan untuk mengelak isu perundangan lanjut.
“Saya telah memberikan komitmen kepada pemilik kereta berkenaan bahawa (kementerian pengangkutan) akan mencuba sedaya upaya, walaupun isu ini sebenarnya antara mereka dan syarikat kapal,” katanya.
Loke menegaskan kementerian sekadar memainkan peranan sebagai perantara untuk menyelesaikan isu antara pemilik kereta dan syarikat perkapalan.