Warga emas hilang ditemu meninggal dekat belakang rumah

Warga emas hilang ditemu meninggal dekat belakang rumah

Mayat Kamardin Pin, 61, ditemukan sekitar 30m selepas dilapor hilang sejak semalam.

Ketua Polis Padang Besar Mohd Shokri Abdullah, berkata penemuan mayat ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Warga emas yang hilang sejak semalam ditemukan meninggal dunia di kawasan belukar dekat belakang rumahnya, di Kampung Gua Beringin, Chuping, Perlis, hari ini.

Mayat Kamardin Pin, 61, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 30m, dari belakang rumahnya sekitar 12.03 tengah hari.

Ketua Polis Padang Besar Mohd Shokri Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa bekerja sendiri dan sering masuk ke hutan berhampiran rumahnya untuk mencari tanah baja.

“Siasatan berhubung kejadian sama ada disebabkan tindakan sendiri atau unsur jenayah sedang dilakukan, namun buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya menurut Kosmo.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk bedah siasat.

Sebelum ini, Kamardin dilaporkan hilang oleh isterinya semalam selepas suaminya itu tidak pulang selepas beberapa jam selepas masuk ke Gua Beringin.

Lelaki itu melakukan kerja-kerja kampung selepas berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan, dan menghidap penyakit jantung serta darah tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.