
Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Sanusi.
Pihak pendakwaan pada mulanya mencadangkan Sanusi dilepas tanpa dibebaskan.
Tetapi, hakim membenarkannya dibebaskan selepas pihak pembelaan berhujah mahkamah perlu membebaskannya memandangkan pihak pendakwaan telah menyatakan niat tidak meneruskan kes itu.
“Apabila pihak pendakwaan menzahirkan niat untuk tidak meneruskan pertuduhan, ia bermaksud pertuduhan terhenti, tetapi DNAA (lepas tanpa bebas) tidak menunjukkan niat hendak hentikan pertuduhan.
“Sekiranya niat untuk henti pertuduhan, sepatutnya dan seadilnya anak guam saya dilepas dan dibebaskan,” kata peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili Sanusi.
Sanusi kini bebas daripada semua pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor dan Sultan Pahang yang dihadapinya pada 2023.
Beliau didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Al-Sultan Abdullah dalam sebuah ceramah di Gombak pada 11 Julai 2023.
Kenyataan itu dibuat ketika Sanusi menyentuh cara pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRN serta PRU.
Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 10 Dis 2024, Sanusi dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan kenyataannya terhadap Sultan Selangor, selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasinya.
Ia menyusul permohonan maafnya kepada Sultan Sharafuddin yang diterima baginda atas nama ukhuwah sesama Islam dan bangsa Melayu.
Di luar mahkamah, Awang memberitahu wartawan, Sanusi tidak lagi disekat perintah larangan bersuara yang dilaksanakan pada Julai 2023 bagi menghalangnya membincangkan kes itu.
“Jadi, semua perkara termasuk ‘gag order’ dan sekatan terdahulu secara tersendiri terbatal, Sanusi tak terikat dengan apa-apa perintah lagi.”
Sanusi kemudian mengucapkan terima kasih kepada Sultan Selangor dan Pahang serta sokongan rakyat.