Pendengaran ‘gag order’ adendum Najib ditetap pada April

Pendengaran ‘gag order’ adendum Najib ditetap pada April

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata pendengaran permohonan substantif semakan kehakiman akan ditetapkan selepas pelupusan permohonan perintah larangan bersuara.

najib razak
Kerajaan merayu kepada Mahkamah Persekutuan mengenai kebenaran Najib Razak membuat semakan kehakiman untuk diletakkan dalam tahanan rumah dan turut memohon perintah larang bersuara menyekat orang ramai membincangkan kes itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 29 Apr depan bagi mendengar permohonan kerajaan mengenai perintah larangan bersuara (gag order) berkait permohonan Najib Razak untuk memaksa pelaksanaan titah diraja meletakkan dirinya dalam tahanan rumah.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dalam pengurusan kes semalam turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan afidavit dan hujahan, yang perlu dilengkapkan pada 23 Apr.

Beliau berkata pendengaran permohonan substantif semakan kehakiman akan ditetapkan selepas pelupusan permohonan perintah larangan bersuara.

Dua Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan dan Ainna Sherina Saiful Amin mewakili tujuh responden – menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), ketua pengarah Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, dan kerajaan.

Peguam Shafee Abdullah dan Farhan Shafee mewakili Najib, yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan rasuah dalam kes SRC International.

Najib, yang menentang permohonan kerajaan bagi perintah larangan bersuara, berkata tiada bukti keselamatan negara terancam jika ia perintah itu tidak dilaksanakan.

Najib juga berkata, sehingga ke hari ini, tiada pihak membuat kenyataan menghasut ke atas Yang di-Pertuan Agong atau institusi diraja berkait isu adendum.

Pada 6 Jan, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan dikeluarkan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Susulan itu, kes diremit ke Mahkamah Tinggi bagi permohonan didengar atas meritnya.

Namun, kerajaan memohon perintah larangan bersuara bagi menyekat orang awam membincangkan kes adendum Najib.

Pada masa sama, peguam negara juga memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan terdiri tiga panel mengeluarkan keputusan berbelah bahagi.

Peguam negara memfailkan lima persoalan undang-undang bagi Mahkamah Persekutuan mendengar mengapa Najib sepatutnya tidak dibenarkan melakukan semakan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.