
Beliau berkata, bantuan khusus itu akan disalurkan dalam bentuk wakaf kepada Universiti Al-Quds, sekolah, dan hospital di Baitulmuqaddis.
“Saya telah bersama-sama bincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar supaya selain bantuan khusus pemulihan di Gaza, kita juga akan beri bantuan khusus dalam bentuk wakaf.
“Jadi, saya harap dengan usaha ini kita dapat tingkatkan usaha dan meringankan beban mereka,” katanya dalam Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra.
Sebelum ini, Anwar berkata, melalui Projek Bandar Wakaf yang diumumkan itu, Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan ditanggung penduduk Gaza.
Menurut Anwar, kerajaan Malaysia dan Jepun juga sepakat membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (Ceapad).
Majlis Ilmu Madani itu turut dihadiri Na’im dan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sa’id Sabri yang turut menyampaikan ceramah berhubung Baitulmuqaddis.
Ekrima turut berterima kasih kepada Malaysia dan Anwar yang ke hadapan dalam memberi bantuan pemulihan di Gaza.