
Pembangunan infrastruktur fiber akan bermula pada suku pertama tahun ini, meliputi bandar-bandar utama di Johor, termasuk kawasan yang perkhidmatan liputan telekomunikasi belum memuaskan.
Pengarah Urusan YTL Communications dan YTL Power Yeoh Seok Hong berkata inisiatif memperkasa ekonomi digital sejajar dengan matlamat negara dalam menyediakan penyelesaian sambungan berskala besar.
Menurutnya, ia memberi manfaat kepada pelbagai industri seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dan 5G.
Jelasnya, kerjasama itu juga akan mengurangkan pertindihan infrastruktur, menurunkan kos bagi penyedia perkhidmatan, serta memastikan pendekatan pembangunan teknologi mampan dan inklusif seterusnya memacu agenda transformasi digital negara.
“Dengan Johor sebagai hab utama pusat data, usaha sama ini akan melabur dan membina insfrastruktur fiber yang diperlukan untuk merealisasikan ekonomi digital baharu.
“Memacu pertumbuhan pesat dan pelaksanaan perkhidmatan digital serta teknologi termaju,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian kerjasama antara Bullish Aim Group dan YTL Communications disaksikan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group Lion Peh berkata kerjasama itu mencerminkan komitmennya untuk merevolusikan landskap telekomunikasi sekali gus memacu kedudukan Malaysia sebagai kuasa digital di Asia Tenggara.
“Kerjasama ini akan menyaksikan pelancaran rangkaian fiber optik bersepadu yang direka untuk meningkatkan keupayaan penghantaran data serta mendorong kecekapan yang lebih baik bagi penyedia telekomunikasi dan perniagaan.
“Dengan memanfaatkan pengalaman luas YTL Communications dalam pembangunan infrastruktur berskala besar serta kepakaran teknologi terkini BA Group, usaha sama ini dijangka menetapkan penanda aras baharu dalam industri data,” katanya.