
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat, mereka mungkin bertindak demikian selepas menyedari sokongan kepada DAP, khasnya pengundi muda Cina mula merosot.
“Pengaruh DAP sekarang dilihat sedikit demi sedikit telah hilang, terutama di kalangan pengundi muda Cina.
“Jadi, mereka sedar DAP sebenarnya, terutama barisan CEC memerlukan muka dan nafas baharu, sebab itu saya melihat pengunduran pemimpin veteran demi memberi peluang kepimpinan muda, generasi baharu untuk memastikan mereka dapat tarik balik pengundi muda kepada DAP,” katanya kepada FMT.
Azmi juga tidak menolak kemungkinan beberapa pemimpin veteran DAP tidak bertanding pemilihan parti tahun ini sebagai isyarat halus kepada dua pimpinan tertinggi mereka, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang melakukan perkara sama.
Rabu lalu, Penasihat DAP, Tan Kok Wai dan Bendahari Kebangsaan, Fong Kui Lun menarik diri daripada pemilihan CEC bulan depan bagi memberi laluan kepada generasi pemimpin baharu memainkan peranan kepimpinan lebih penting.
Ia disusuli veteran DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan M Kulasegaran atas alasan sama.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata, pengunduran veteran terbabit menunjukkan DAP mahu membuktikan mereka meraikan demokrasi dengan memberikan laluan kepada calon lebih berpotensi.
“Tidak mustahil Kit Siang juga mungkin berundur jika trend seperti ini berterusan, di mana muka baharu semakin dihargai dan diberikan ruang. Langkah itu juga strategi awal bagi mengukuhkan posisi DAP dalam pilihan raya akan datang dengan mengasah bakat dan muka baharu.”
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pengunduran pemimpin veteran DAP bukan satu bentuk protes atau kekecewaan atas kegagalan menunaikan janji kepada rakyat selepas menjadi kerajaan, sebaliknya ia tindakan “moral” dalam budaya politik parti itu.
“Dari satu sudut, saya juga melihat trend pengunduran pemimpin veteran DAP dalam sedekad ini seolah-olah mengubah bentuk perjuangan DAP daripada garis keras kepada ideologi lebih toleran dan bersifat ‘Malaysian’.”