Seorang lagi wakil rakyat Bersatu tewas saingan ketua bahagian

Seorang lagi wakil rakyat Bersatu tewas saingan ketua bahagian

Adun Batang Kali Muhaimin Harith Abdullah Sani kalah dalam pemilihan jawatan ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor.

Muhaimin Harith Abdullah Sani
Adun Batang Kali Muhaimin Harith Abdullah Sani hanya mendapat enam undi dalam pemilihan jawatan ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lagi wakil rakyat Bersatu dilaporkan tewas dalam pemilihan jawatan ketua bahagian parti itu.

Menurut Berita Harian, Adun Batang Kali, Muhaimin Harith Abdullah Sani tumbang dalam persaingan jawatan ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor, pada pemilihan yang berlangsung semalam.

Persaingan tiga penjuru itu dimenangi Ruslee Jamaludin yang mendapat 26 undi manakala Muhaimin menduduki tempat tercorot selepas hanya memperoleh enam undi.

Seorang lagi calon, Khairul Azhari Saut pula mendapat 13 undi dalam pemilihan dihadiri 47 daripada 71 perwakilan itu.

Riduan Harun pula menang jawatan timbalan ketua bahagian selepas meraih 29 undi manakala jawatan naib ketua bahagian pula menjadi milik Mohammed Ilyas Hussein yang menang tanpa bertanding.

Pada PRN Selangor 2023, Muhaimin berjaya memenangi Dun Batang Kali selepas menewaskan calon Umno Isa Abu Kasim dengan majoriti 2,978 undi.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga dilaporkan tewas dalam persaingan untuk jawatan ketua Bersatu Machang.

Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang gagal menumbangkan penyandang, Kamaruddin Ab Kadir, apabila hanya menerima 26 undi berbanding pihak lawan yang memperoleh 103 undi.

Pemilihan ini menentukan kepimpinan peringkat bahagian bagi penggal 2024-2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.