Henti gaduh, bincang isu remeh ketika negara luar berlumba angkat AI

Henti gaduh, bincang isu remeh ketika negara luar berlumba angkat AI

China, Jepun dan Amerika Syarikat sedang tumpu usaha melakukan transisi tenaga.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata tidak patut rakyat riuh berkait hal remeh, sedangkan negara lain berlumba mengangkat keupayaan AI masing-masing.
PUTRAJAYA:
Henti bergaduh dan bincang isu remeh ketika negara lain berlumba mengangkat keupayaan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, dan tenaga boleh ubah, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, dan Eropah juga sedang menumpukan usaha melakukan transisi tenaga dan mahu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga lama.

“(Tapi) kita riuh rendah tentang hal-hal yang remeh dan bergaduh. Sebab itulah tanggungjawab kita semua, termasuk swasta, syarikatnya, ‘holdingnya’, jabatan-jabatan kerajaan harus beri tumpuan.

“Pertama, tingkat kecekapan kita, beri khidmat yang lebih baik dan hentikanlah hanya amalan-amalan guna kesempatan, gayakan diri, gayakan keluarga dengan cara yang terang,” katanya ketika merasmikan Alamanda berwajah baru di Putrajaya.

Pada Jumaat lalu Anwar berkata Malaysia dan Perancis senada untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan AI.

Anwar berkata perkara itu dicapai menerusi perbualan telefon dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, selain turut menyingkap perkembangan hasil pertemuan ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil pada 19 Nov lalu.

Menurutnya perbincangan itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu Myanmar dan bersetuju mencari jalan penyelesaian secara diplomatik demi mewujudkan keamanan di negara tersebut.

Banteras rasuah tanpa campur tangan

Dalam pada itu, Anwar mengulangi tindakan membanteras rasuah diambil bukan berdasarkan dendam peribadi, sebaliknya bagi memastikan tadbir urus baik.

Katanya, beliau tidak pernah campur tangan dalam urusan penguatkuasaan dan telah memberikan kebebasan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

Walaupun perdana menteri tidak menyebut secara jelas kenyataan ulangan itu, namun dilaporkan hari ini mengenai penahanan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas empat pegawai terkait Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi perdana menteri kesembilan.

Keempat-empat mereka direman tiga ke lima hari bermula Jumaat lalu dengan kes disiasat mengikut Akta Seksyen 16a Akta SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.