
Loke berkata dakwaan tersebut adalah perkara biasa yang ditimbulkan pihak luar bagi mengganggu-gugat ketenteraman parti, dan beliau tidak terganggu serta menjalankan tugas yang diamanahkan seperti biasa, lapor Bernama.
“Biasalah setiap pemilihan ada macam-macam dakwaan, pimpinan DAP ini memang pasukan yang bersatu padu dan kuat jadi kita tak perlu endahkannya. Dakwaan ini daripada orang luar tak ada kena-mengena dengan parti, mungkin ada yang dengki dengan DAP, ada musuh politik dan sebagainya.
“Semua pemimpin kita matang dan tahu menilai, tak perlu bergaduh dengan perkara seperti ini. Saya tak tahu ada kem-kem, hanya ada kem DAP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Seremban.
DAP dijadual mengadakan pemilihan CEC pada 16 Mac ini.
Penganalisis politik menjangkakan pemilihan kali ini antara yang paling sengit dalam sejarah parti itu, dengan jawatan dalam Jemaah Menteri menjadi taruhan bagi calon yang menang.
Beberapa penganalisis berkata wujud dua kem dalam DAP – satu diketuai oleh Loke dan satu lagi oleh Pengerusi Kebangsaan, Lim Guan Eng.
Spekulasi mengenai pemilihan parti semakin hangat selepas setiausaha penganjur DAP, Steven Sim dimarahi seorang pembantu Lim dalam satu majlis makan malam di Pulau Pinang. Pembantu itu kemudian memohon maaf atas tindakannya terhadap Sim, yang juga ketua DAP Pulau Pinang yang baru dipilih.
Terdapat juga dakwaan bahawa wujud gerakan dalam parti untuk menyingkirkan Lim daripada CEC.
Empat pemimpin veteran DAP – Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, Phee Boon Poh dan M Kula Segaran – mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan CEC kali ini, dengan alasan sudah tiba masanya untuk kepimpinan baharu mengambil alih.