Tiada kesilapan, salah nyata, atau sembunyi maklumat, tegas KWSP

Tiada kesilapan, salah nyata, atau sembunyi maklumat, tegas KWSP

KWSP kata pendapatan pelaburan kasar dan pendapatan pelaburan bersih selaras jumlah dibentangkan di Parlimen.

kwsp-epf
KWSP kata jumlah keuntungan direalisasikan daripada transaksi saham MAHB adalah RM102 juta.
PETALING JAYA:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM66.99 bilion, dengan pendapatan pelaburan bersih berjumlah RM63.48 bilion, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 dan selaras jumlah yang dibentangkan di Parlimen.

“Tiada sebarang kesilapan, salah nyata, atau usaha untuk menyembunyikan maklumat, seperti yang didakwa,” menurut kenyataan, menjawab perbincangan mengenai prestasi kewangan bagi tahun 2023 dan pelaburannya dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sementara itu, jumlah keuntungan direalisasikan daripada transaksi saham MAHB adalah RM102 juta, merangkumi keuntungan modal serta dividen yang dijana oleh pengurus dana dalaman dan luaran.

“Jumlah RM100.7 juta yang disebut dalam perbincangan sebelum ini tidak mengambil kira sebahagian dividen yang diterima daripada pengurus dana luaran dan kini telah diperbetulkan,” katanya.

KWSP juga menjelaskan julat harga RM5.40 hingga RM7.36 sesaham yang disebut sebelum ini merujuk kepada soalan yang dikemukakan di Parlimen oleh seorang Ahli Parlimen.

“Semakan terhadap semua transaksi sepanjang tahun 2023 mengesahkan bahawa julat harga sebenar adalah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham,” katanya.

Sementara itu, pelaburan dalam MAHB menyumbang kepada prestasi KWSP dan menghasilkan dividen lebih tinggi bagi tahun 2023.

Katanya, angka bagi simpanan konvensional adalah 5.50% berbanding 5.35% pada 2022, dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.

Manakala angka bagi simpanan shariah adalah 5.40% berbanding 4.75% pada 2022, dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

“Semua jumlah yang diumumkan adalah tepat dan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan yang ketat,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.