
Beliau berkata langkah yang turut membabitkan pemilik kenderaan perlu menjalani pemeriksaan semula selepas gagal cubaan pertama itu bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pemeriksaan dapat dijalankan dengan teliti serta adil.
“Langkah ini juga memastikan pemeriksa kenderaan (VE) mendapat rehat mencukupi sebelum kembali bertugas keesokan hari. Namun, beberapa cawangan utama masih beroperasi hingga lebih 10 malam.
“Kami memahami cabaran dihadapi, terutama di Lembah Klang yang mana mendapatkan slot janji temu semakin sukar,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau turut mencadangkan pemilik kenderaan menggunakan perkhidmatan pemeriksaan bergerak Puspakom dengan bayaran tambahan.
Mahmood menggesa pemilik kenderaan memanfaatkan kebenaran diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui permit sehingga 14 hari sebelum tarikh luput tanpa menjejaskan tempoh sah sedia ada.
“Jika permit tamat pada 31 Mac, pembaharuan boleh dilakukan mulai 18 Mac.
“Sekiranya gagal pada 18 Mac, mereka masih mempunyai 13 hari untuk pemeriksaan semula. Jika pembaharuan dilakukan pada hari terakhir tempoh sah permit dan kenderaan gagal pemeriksaan, ini boleh menimbulkan masalah.”
Katanya, Puspakom menghargai pemahaman dan kerjasama orang ramai dalam usaha menambah baik perkhidmatan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Menurutnya, Puspakom sedang meneliti semula waktu operasi dan kapasiti bagi menampung lebih ramai pemilik kenderaan, tetapi ia bergantung kepada ketersediaan tenaga kerja VE.