
Anwar berkata Jemaah Menteri terbuka terhadap teguran berhubung prestasi mereka dan akan mengambil langkah memperbaikinya, lapor Bernama.
Pada sidang media selepas permukiman Jemaah Menteri selama dua hari yang berakhir hari ini, Anwar berkata menteri mendengar laporan serta pandangan bebas mengenai prestasi mereka yang dibentangkan ahli akademik dan penjawat awam.
“Kemudian kita beri ruang kepada menteri untuk berikan pandangan mereka tentang iltizam dan komitmen untuk meningkatkan prestasi.
“Setakat ini saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasinya (Jemaah Menteri) membanggakan kerana mereka ambil serius teguran yang mereka terima dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi,” katanya.
Permukiman itu juga membincangkan mengenai keperluan bagi kerajaan untuk melihat semula pendekatan diambil bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat.
Anwar berkata walaupun terdapat statistik yang menunjukkan prestasi membanggakan namun masih ada beberapa masalah yang harus kerajaan selesaikan seperti kenaikan harga barang.
“Walaupun angka-angka statistik menunjukkan inflasi kita rendah, rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang, terutamanya barang perlu (barangan asas).
“Ini satu cabaran yang kita beri penekanan kerana kita faham bahawa angka-angka tentang lonjakan ekonomi, peningkatan pelaburan dan keamanan serta tarikan pelancongan itu hanya lebih bermakna sekiranya kita dapat kawal kenaikan harga yang membebankan sebahagian rakyat kita,” katanya.