Persaingan sengit meruncing menjelang pemilihan DAP

Persaingan sengit meruncing menjelang pemilihan DAP

Penganalisis kata pemegang jawatan tinggi dijangka menjadi calon untuk ke Jemaah Menteri, sekiranya pemerintah sekarang bentuk kerajaan pada PRU akan datang.

Pemilihan DAP akan datang mungkin menyaksikan pertembungan antara kelompok diketuai Lim Guan Eng dan Loke Siew Fook.
PETALING JAYA:
Pemilihan DAP pada 16 Mac dijangka antara paling sengit, kerana pemegang jawatan tinggi dijangka menjadi calon untuk ke Jemaah Menteri, sekiranya pemerintah sekarang membentuk kerajaan pada PRU akan datang, menurut penganalisis.

P Sivamurugan dari Universiti Sains Malaysia menjangkakan mereka yang mendapat tempat dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP akan menjadi wajah-wajah utama pada PRU16, yang dijangka menjelang 2027.

“Buat masa ini, nampaknya terdapat dua kelompok – satu diketuai Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan satu lagi Setiausaha Agung Loke Siew Fook,” katanya kepada FMT.

Sivamurugan merujuk kepada trend pemilihan lalu dan berkata pemimpin dalam kem Loke berkemungkinan akan mendominasi CEC, pada ketika DAP sedang mengatur letak parti itu dalam politik arus perdana.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Loke kelihatan bersekutu, terutama selepas Nga secara terbuka menyatakan komitmen untuk mengukuhkan parti,” katanya, dan menambah langkah itu boleh dilihat sebagai mengukuhkan pengaruh Loke yang semakin meningkat.

Satu lagi tumpuan utama ialah kemungkinan pertarungan antara Lim Hui Ying dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim. Hui Ying adalah anak veteran DAP Lim Kit Siang dan adik Guan Eng.

Hui Ying dan Sim mensasarkan jawatan ketua menteri Pulau Pinang.

“Mereka perlu pegang jawatan tinggi pada pemilihan parti bagi mempamerkan sokongan perwakilan yang kuat,” kata Sivamurugan.

James Chin dari Universiti Tasmania bagaimanapun berkata kebanyakan perselisihan dalaman DAP berkisar segelintir personaliti dan beberapa isu penting.

Beliau berkata walaupun ahli parti kelihatan berkelompok tentang sama ada mereka menyokong Guan Eng, mereka tidak akan berpuak.

Chin menarik perhatian kepada peralihan kepimpinan pada pemilihan terdahulu iaitu pada 2022, apabila Loke mengambil alih jawatan setiausaha agung.

“Dalam sistem DAP, setiausaha agung pemimpin paling kanan,” katanya.

Namun Guan Eng selaku pengerusi masih mempunyai pengaruh terutama dalam struktur formal, tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim “cenderung bercakap dengan Loke” selaku setiausaha agung jika beliau perlu melibatkan kepimpinan DAP.

Pertempuran sengit

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata pemilihan DAP kali ini menarik perhatian umum memandangkan ia sebahagian daripada gabungan memerintah, tidak seperti persaingan sebelum ini.

“Sifat sebenar pemilihan ini adalah pertandingan antara generasi dalam parti itu.

“Orang lama yang dipimpin Guan Eng dicabar oleh pemimpin lebih muda yang diketuai Loke, seseorang yang semakin dianggap sebagai wajah baharu DAP.

“Anggota perwakilan kini perlu buat keputusan sama ada untuk mengekalkan orang lama atau buka laluan kepada kepimpinan baharu untuk membentuk hala tuju parti pada masa depan,” katanya.

Hisomuddin berkata keputusan tiga ahli lama menarik diri daripada pemilihan — Penasihat Tan Kok Wai, Bendahari Fong Kui Lun, dan Phee Boon Poh — menandakan peralihan, dengan kepimpinan beransur-ansur diserah kepada generasi baharu.

Beliau berkata Gobind Singh Deo, yang tewas pada pemilihan DAP Selangor, mungkin akan berhempas-pulas untuk kekal relevan dalam CEC meskipun seorang menteri.

Kemunculan muka baharu, seperti ADUN Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao — dikatakan anak didik Nga — mencerminkan hasrat pembaharuan dalam DAP, kata Hisomuddin.

Begitu juga apabila seorang lagi veteran, M Kulasegaran, memutuskan untuk menarik diri daripada persaingan CEC bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Majmuk atau dominasi satu etnik?

Hisomuddin berkata seperkara lagi yang harus diperhatikan sama ada anggota perwakilan akan memilih saf CEC yang mencerminkan identiti Malaysia yang majmuk, atau didominasi satu kumpulan etnik.

Petunjuk utama ialah setinggi mana kedudukan pemimpin muda Melayu kelak, termasuk Syahredzan Johan, Syerleena Rashid, Syefura Othman dan Sheikh Umar Bagharib Ali.

Begitu juga kedudukan pemimpin muda India.

“Selepas P Ramasamy tinggalkan DAP, pemimpin India dalam parti itu kurang menyerlah, selain Gobind yang dilihat sebagai satu-satunya tokoh penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.