
Yayasan VFive, Teraju Construction Sdn Bhd dan beberapa individu menyumbang karpet berona hijau bermotifkan sejadah Raudhah Masjid Nabawi pada satu majlis semalam.
Selain sumbangan, lebih 1,000 diraikan dalam satu majlis makan tengahari selepas solat Jumaat.

“Kami mewakili jemaah Masjid Jami Aulia mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan karpet baharu dan program jamuan makan tengahari,” kata nazir masjid, Ahmad Dhananir Mutasil.
Majlis turut dihadiri Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Shamsuri Ghazali, dan Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia, Asro Kamal Rokan.
Asro berkata program seperti ini mengukuhkan silaturahim, manakala Samsuri mengingatkan hubungan erat kedua-dua negara bukan sahaja dari segi keserumpunan bangsa dan budaya, tetapi juga agama.
Masjid Jami Aulia yang terletak di Pekalongan Barat ini dibina pada 1614 dan dibangunkan oleh empat agamawan terkemuka iaitu Kiai Maksum, Kiai Sulaiman, Kiai Lukman, dan Nyai Kudung yang dikenali sebagai penyebar ajaran Islam di Jawa Tengah.
“Sumbangan ini sudah tentu memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat terawih dan Aidilfitri tidak lama lagi,” kata seorang ahli kariah, Fauzan Sasmati.