Lantikan 26 pegawai khas bukan untuk gugat Adun pembangkang

Lantikan 26 pegawai khas bukan untuk gugat Adun pembangkang

Saarani Mohamad berkata lantikan itu bagi melancarkan pentadbiran kerajaan di kawasan DUN pembangkang yang turut bertanggungjawab menghebahkan semua usaha kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata lantikan 26 pegawai khas itu tidak menjejaskan elaun bulanan wakil rakyat pembangkang serta peruntukan kepada semua pusat khidmat Adun, termasuk pembangkang.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata pelantikan pegawai khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang bukan bertujuan menggugat Adun terbabit.

Menurutnya, pelantikan pegawai khas itu juga tidak menjejaskan elaun bulanan RM11,000 yang diterima wakil rakyat pembangkang serta peruntukan kepada semua pusat khidmat Adun, termasuk pembangkang yang dinaikkan daripada RM7,000 kepada RM10,000 sebulan.

Beliau berkata, pelantikan 26 pegawai khas menteri besar Perak terdiri daripada wakil parti kerajaan itu bagi melancarkan pentadbiran kerajaan di kawasan DUN yang turut bertanggungjawab menghebahkan semua usaha kerajaan negeri, termasuk perancangan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Saya berceramah merata tentang pelan Perak Sejahtera 2030. Saya tak dengar mana-mana Adun pembangkang pergi ceramah cerita benda ini.

“Jadi, arahan saya kepada pegawai khas saya, turun padang beritahu orang ramai apa yang kita buat sekarang. Beritahu supaya orang faham,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Terdahulu, hantaran di satu akaun Facebook mempertikaikan pelantikan pegawai khas menteri besar yang didakwa bertujuan membunuh karier wakil rakyat dipilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.