
Ia juga menunjukkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti KWAP boleh menyumbang secara positif kepada ekonomi, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid.
“Kerajaan telah menunjukkan keazaman untuk mereformasi ekonomi, terutama dalam bidang yang berkaitan dengan dasar fiskal.
“Hasilnya, syarikat tempatan sama ada entiti tersenarai awam atau firma swasta mendapat manfaat daripada daya tahan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Tinjauan ekonomi Malaysia mendapat rangsangan baru-baru ini apabila agensi penarafan kredit bon, Moody’s Ratings, menyatakan bahawa ia menjangkakan daya tahan ekonomi akan bertambah baik, lantaran ‘pemacu pertumbuhan yang pelbagai’ dan penyertaan dalam rantaian nilai global.
Moody’s memberikan penarafan kredit berdaulat “A3” dengan prospek ‘stabil’. Agensi Amerika Syarikat itu berkata taraf ini menyerlahkan keazaman negara untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah keadaan global yang mencabar dan ketidaktentuan.
Pada 13 Feb, KWAP mengumumkan ia mencapai pendapatan pelaburan tertingginya, iaitu sebanyak RM18 bilion tahun lepas, dengan pulangan sebanyak 12%.
Menurut keputusan kewangan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 13 Dis 2024, KWAP menyatakan saiz dana bertumbuh sebanyak RM15.8 bilion kepada RM185.6 bilion. Pertumbuhan ini peningkatan 9.3% daripada RM169.8 bilion pada 2023, katanya.
Strategi peruntukan aset dana KWAP kekal pelbagai dan berdaya tahan, dengan 74.6% daripada portfolionya dilaburkan di dalam negara dan 25.4% di peringkat antarabangsa.
Sehingga 31 Dis 2024, portfolio KWAP diperuntukkan seperti berikut: 51.7% dalam ekuiti, 32.4% dalam pendapatan tetap, 5.4% dalam ekuiti persendirian, 5.2% dalam hartanah dan 2.2% dalam prasarana, dengan baki dalam pengurusan tunai bagi memastikan kecairan.
Portfolio pelbagai kurangkan risiko
Afzanizam berkata mempelbagaikan portfolio yang mempunyai pelbagai kelas aset dan lokasi geografi akan meminimumkan risiko kerugian.
“Setiap kelas aset akan mempunyai pertukaran risiko-pulangan tersendiri, maka perlu ada seseorang yang cekap untuk menguruskan dana.

“Perkara ini beinstitusi dan melibatkan pemahaman tentang pasaran, dasar dan tingkah laku, yang boleh diterjemahkan kepada strategi pelaburan portfolio,” katanya.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams, berkata KWAP berkembang menjadi pengurus dana yang lebih baik, selepas mengharungi ‘beberapa tahun yang sukar pada masa lalu’.
Beliau mencadangkan KWAP tumpu pada pelaburan pulangan tinggi, walaupun ini bermakna melabur dalam lebih banyak saham antarabangsa, kerana ia penting untuk mengekalkan pulangan keseluruhan yang kukuh.
“Matlamatnya mestilah untuk memaksimumkan pulangan bagi menampung pencen perkhidmatan awam dan mengurangkan pergantungan pada perbelanjaan kerajaan,” tambah Williams.