Menteri gesa tingkat kawalan keselamatan masjid, surau elak insiden cabul berulang

Menteri gesa tingkat kawalan keselamatan masjid, surau elak insiden cabul berulang

Mohd Na’im Mokhtar juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap suspek jika terbukti bersalah.

na'im
Mohd Na’im Mokhtar berharap pengurusan masjid dan surau ambil iktibar susulan kejadian cabul dalam sebuah masjid di Batang Kali. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak pengurusan masjid dan surau digesa mempertingkat kawalan keselamatan susukan kejadian seorang kanak-kanak perempuan disyaki dicabul ketika menunaikan solat subuh dalam masjid di Batang Kali, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap suspek jika terbukti bersalah melakukan perbuatan tersebut.

“Kejadian itu perlu dijadikan ikhtibar kepada pihak pengurusan masjid dan surau untuk mempertingkat langkah kawalan keselamatan institusi masjid dan surau.

“Saya berharap sekiranya suspek terbukti terlibat dengan perbuatan tersebut (cabul) maka tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa sebagai pengajaran kepada semua pihak,”katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Hulu Selangor Ahmad Faizal Tahrim memaklumkan seorang remaja berusia 19 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam perbuatan itu.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan disyaki dicabul ketika menunaikan solat subuh berjemaah di masjid berkenaan.

Menerusi perkongsian, seorang lelaki dilihat menceroboh ke ruang solat wanita ketika jemaah sedang solat dan melarikan seorang kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.