
Presidennya Saaidah Athman berkata gesaan itu dibuat ketika pertemuan beliau dengan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan semalam.
Pada pertemuan tersebut, Saaidah turut menyerahkan satu memorandum kepada Dzulkefly.
Dalam arahan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada November lalu, mewajibkan jururawat wad bekerja tiga jam tambahan setiap minggu, menjadikan jumlah waktu kerja mingguan mereka kepada 45 jam.
Sistem waktu bekerja baharu itu pada mulanya dirancang bermula 1 Dis lalu tetapi ditunda kepada 1 Mac ini susulan bantahan.
“Saya baru jumpa Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengenai isu (kerja) 45 jam, kami bukan nak melawan dasar yang dibuat tetapi kita nak dipertimbangkan, penambahbaikan dan kelebihan yang boleh timbal balik,” katanya kepada FMT.
Katanya, antara pertimbangan yang boleh kerajaan berikan adalah pemberian elaun atau inisiatif lebih menarik supaya jururawat boleh kekal lama dalam KKM.
Saaidah berkata selain waktu kerja yang membebankan, isu gaji juga menjadi antara punca jururawat memilih untuk menamatkan perkhidmatan dan berhijrah ke sektor swasta.
Katanya, MNU bersama KKM cuba untuk berbincang dengan jururawat terlibat dengan menawarkan sistem kerja lebih fleksibel dan kemudahan-kemudahan lain bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Buat masa sekarang, dengan keadaan waktu kerja 45 jam, kami sendiri pun tak dapat nasihatkan (jururawat) jangan berhenti,” katanya.
30 Jan lalu Delegasi Jururawat Malaysia membantah penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu kerana dijangka memberikan implikasi negatif yang besar terhadap profesion jururawat serta sistem kesihatan secara keseluruhan.
Menurut statistik yang dikeluarkan KKM baru-baru ini, lebih 13,000 kakitangan lantikan tetap dan kontrak dalam sektor kesihatan meletak jawatan antara tahun 2020 hingga tahun lalu.
Mengikut pecahan, dari tempoh berkenaan paling tinggi yang meletak jawatan ialah pegawai perubatan kontrak dengan 7,692 orang diikuti pegawai perubatan tetap (1,856), jururawat lantikan tetap (1,754) dan pakar perubatan (1,217).