Elak disaman fitnah, Tuan Ibrahim ingatkan ahli, pemimpin PAS semak fakta

Elak disaman fitnah, Tuan Ibrahim ingatkan ahli, pemimpin PAS semak fakta

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata imej PAS perlu dipelihara dan kewibawaan pemimpin dipertahankan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dedah risiko ahli atau pemimpin PAS disaman.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli serta pemimpinnya supaya memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum disampaikan kepada orang ramai untuk mengelakkan saman sekali gus menjejaskan imej parti.

Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau memahami adakala sesetengah kenyataan dibuat bersifat peribadi namun dikaitkan dengan parti kerana kedudukan dan jawatan disandang.

Katanya, semua kenyataan mereka perlu disahkan kesahihannya untuk mengelakkan tindakan undang-undang lebih-lebih lagi kini risikonya semakin tinggi dengan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Kita terdedah kepada risiko peribadi disaman dan kena bayar.

“Kedua risiko kepada parti…semua pihak perlu jaga supaya imej dapat dipelihara dan kewibawaan kepimpinan dapat dipertahankan,” katanya dalam temu bual bersama FMT di Pejabat Agung PAS.

Beliau mengulas sama ada PAS akan meminta pemimpinnya lebih berhati-hati dalam berceramah atau membuat kenyataan susulan dakwaan parti itu dicop sebagai ‘kaki fitnah’ selepas ada antaranya disaman dan didapati bersalah memfitnah.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad terpaksa membayar keseluruhan RM830,000 kerana memfitnah veteran DAP Lim Kit Siang, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Beliau bersalah atas tuduhan memfitnah kerana mengaitkan Kit Siang dan Guan Eng dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng selain mendakwa Kok sepupu kepada isteri Guan Eng, Betty Chew dalam ceramah pilihan raya.

Terbaru, Pesurujaya PAS Perak Razman Zakaria mendakwa beliau disaman Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana mengaitkan pemimpin DAP itu dengan dakyah Kristianisasi.

Pada 11 Feb, Adun Gunong Semanggol itu berkata saman tersebut bukan berkait dakwaannya bahawa pemimpin DAP berkenaan mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh, konglomerat YTL Corporation Bhd.

Bulan lalu, Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata beliau akan menyerahkan notis tuntutan kepada Razman yang mendakwanya mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh dalam satu ceramah.

Walaupun Razman memohon maaf atas dakwaannya bahawa beliau ‘anak orang kaya’ dan ‘anak perempuan YTL’, Yeoh berkata pemimpin PAS terbabit membuat tuduhan lain yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya dalam ucapan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.