
Sokongan itu dizahirkan pada sesi penggulungan titah diraja oleh Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang di Dewan Rakyat.
Aaron berkata setakat ini ada 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dan kementeriannya berharap jumlah itu dapat ditambah bagi membolehkan kanak-kanak bergaul dalam masyarakat majmuk seterusnya memupuk perpaduan.
“Kita telah mohon tambahan sebanyak 34 Tabika Perpaduan pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) menyifatkan pertambahan Tabika Perpaduan yang diusahakan Kementerian Perpaduan Negara sebagai langkah penting memupuk kesatuan dari usia kanak-kanak.
“Kita akan bantu menteri untuk fight (lawan) benda ini, perkara ini penting dan Kerajaan Madani perlu betulkan (tambah Tabika Perpaduan) supaya perpaduan sampai ke akar umbi,” katanya mencelah perbahasan Aaron.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang turut menyokong usaha Kementerian Perpaduan Negara itu berharap perkara terbabit menjadi realiti.

“Menteri kena lawan supaya kerajaan luluskan, kita perlukan lebih banyak Tabika Perpaduan,” katanya.
Tabika Perpaduan mula diperkenalkan pada 1976 yang tujuan utama penubuhannya pada ketika itu untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan antara kaum.
Sebanyak 25 buah kelas Tabika Perpaduan diwujudkan sebagai projek rintis di pinggir bandar dan bandar.
Susulan penubuhan Kementerian Perpaduan Negara pada 10 Mac 2020, konsep Tabika Perpaduan dimantapkan dengan menumpukan penghayatan pendidikan Rukun Negara.
Turut ditekankan nilai-nilai murni bagi memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara.