Tiada larangan Zakir Naik berceramah, kata Saifuddin

Tiada larangan Zakir Naik berceramah, kata Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata larangan berceramah ke atas Zakir Naik hanya dikenakan pada 2019.

Pada Ogos 2019, polis dilaporkan melarang Zakir Naik menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi keselamatan negara dan keharmonian kaum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada lagi larangan berceramah terhadap pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Beliau berkata, berdasarkan semakan pihaknya, larangan berceramah ke atas Zakir hanya dikenakan pada 2019 selepas polis membuka kertas siasatan terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan boleh mengancam keamanan Malaysia.

“Saya semak balik sekarang, tak ada lagi larangan itu sebab waktu itu, 2019 merujuk hanya tempoh siasatan terhadap dua kenyataan dikeluarkan dalam ucapan. Kalau tak salah saya di Kota Bharu dan Perlis,” katanya ketika ucapan penggulungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung status larangan ceramah ke atas Zakir.

Persoalan sama turut dibangkitkan V Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta KDN memberi penjelasan mengenai status larangan itu susulan laporan mendakwa Zakir berceramah dalam sebuah program di Perlis bulan lalu.

Pada Ogos 2019, polis dilaporkan melarang Zakir menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi keselamatan negara dan keharmonian kaum.

Beliau disoal siasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam susulan ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau dilaporkan mendakwa masyarakat India Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi dan menggambarkan orang Cina di negara ini boleh dianggap “tetamu lama” berbanding dirinya “tetamu baharu”.

Zakir kemudiannya memohon maaf terhadap salah faham yang timbul daripada kenyataannya, tetapi mempertahankan ucapannya dipetik di luar konteks.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.