Tarif 25% AS tamparan hebat kepada Malaysia, kata Tok Mat

Tarif 25% AS tamparan hebat kepada Malaysia, kata Tok Mat

Menteri luar negeri berkata 60% jumlah dagangan Malaysia dengan AS merangkumi eksport elektrik dan elektronik.

TOK MAT MOHAMAD HASAN
Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata tarif 25% bakal dikenakan AS akan memberi tamparan hebat kepada Malaysia jika tidak dapat diselesaikan segera.
PETALING JAYA:
Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenakan 25% tarif kepada import automotif, semikonduktor dan farmaseutikal akan memberi tamparan hebat kepada Malaysia, kata Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan.

Katanya, ini kerana daripada jumlah dagangan Malaysia dengan AS, 60% merangkumi eksport elektrik dan elektronik.

“Ini merupakan tamparan hebat jika kita tidak dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera.

“Itu sebabnya semalam saya juga menyatakan dalam Dewan yang mulia ini, Asean bercadang segera mengadakan sidang kemuncak khas Asean AS untuk membentangkan (perkara ini) kepada pentadbiran baharu AS.

“Kita perlu berbincang bagaimana cara untuk memberikan pandangan daripada negara-negara dalam Asean untuk memastikan tarif dicadangkan ini tidak membebankan negara,” katanya yang lebih dikenali Tok Mat menurut Bernama dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menyifatkan langkah AS sebagai ‘reshoring’ (amalan memindahkan kembali operasi perniagaan).

“Menerusi (reshoring), mereka mengenakan cukai tinggi ini agar syarikat besar yang beroperasi di luar AS balik ke AS dan menubuhkan operasi di AS sendiri.”

Menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) sejauh mana Malaysia boleh memanfaatkan penganjuran Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (Asean-GCC) kedua dan Sidang Kemuncak Asean-GCC- China dalam meningkatkan kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan negara dan serantau, Mohamad berkata, tiga blok itu perlu bincang bersama.

“Ini kerana China merupakan negara pasaran terbesar. GCC merupakan negara yang mempunyai modal dan Asean merupakan blok negara mempunyai banyak sumber asli.

“Jika ketiga-tiga blok ini dapat runding bersama, kita dapat mengembangkan ekonomi intra-Asean, jadikan Asean ini ekonomi keempat terbesar dunia pada 2030.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.