
Peguam T Harpal Singh, mewakili 15 daripada 32 tahanan memberitahu FMT bahawa anak guamnya memberi keterangan dalam pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hirman Ab Raub.
“Semua anak guam saya telah memberikan keterangan lisan memperincikan bagaimana mereka dipukul, bahagian badan mana mengalami kecederaan, dan siapa pelakunya.
“Mahkamah merekodkan semua keterangan dan seterusnya mengarahkan rawatan perubatan segera,” katanya sambil menambah 25 daripada 32 tahanan dipercayai diserang pihak berkuasa penjara itu.
Harpal berkata, mahkamah turut menasihatkan tahanan memfailkan laporan polis bagi membuka laluan kepada siasatan rasmi.
Seorang lagi peguam, Rajesh Nagarajan berkata beliau meragui banduan berkenaan akan dibawa ke balai polis bagi kemuka laporan, selain berpandangan pihak berkuasa penjara berkemungkinan keberatan menjadi pemudah cara aduan terhadap mereka sendiri.
Katanya, tahanan telah memberikan keterangan bahawa mereka dipijak, ditendang, ditumbuk, dan berulang kali dipukul dengan baton di pelbagai bahagian badan.
“Ini mengarut sama sekali, mengejutkan, dan menakutkan. Dalam negara bertamadun, tahanan sepatutnya tidak dipukul hanya kerana membuat mogok lapar. Mesti dilakukan inkuiri, dan wajib ada pihak dipertanggungjawab,” katanya.
Mahkamah menjadualkan satu lagi pengurusan kes pada 17 April, tarikh perbicaraan tentatif ditetapkan pada 15 hingga 30 Okt, 2 hingga 6 Nov, dan 9 hingga 22 Nov 2026.
Awal bulan ini, tahanan melancarkan mogok lapar bagi membantah penahanan mereka, yang didakwa membawa kepada serangan oleh pegawai penjara dalam usaha menamatkan mogok itu.
Ahli keluarga beberapa tahanan juga melakukan mogok sama di pekarangan Penjara Sungai Buloh, sebagai tanda solidariti dan protes terhadap penolakan permohonan lawatan.