
Dalam makluman kepada bursa, syarikat itu mengumumkan bahawa keseluruhan modal terbitannya akan dikeluarkan daripada senarai rasmi bursa pada jam 9 pagi, selaras dengan Perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Dagangan saham MAHB digantung hari ini, sementara lima pengarah bebas bukan eksekutifnya meletakkan jawatan menjelang proses penyahsenaraian.
Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) berjaya memperoleh pegangan saham mencukupi untuk dinyahsenarai dan menjadikan MAHB sebagai syarikat persendirian pada 28 Jan lalu.
GDA merupakan konsortium yang terdiri daripada Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Abu Dhabi Investment Authority, dan Global Infrastructure Partners yang dimiliki BlackRock.
MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik, serta 17 STOLport (lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek).