KWSP catat pendapatan pelaburan RM63.48 bilion hasil jual saham MAHB

KWSP catat pendapatan pelaburan RM63.48 bilion hasil jual saham MAHB

Saham MAHB dijual antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit menghasilkan pendapatan RM102 juta bagi agihan dividen KWSP tahun kewangan 2023.

Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan saham itu adalah tidak berasas.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Dis 2023 selepas penjualan beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata saham MAHB telah dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit sekaligus menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

“Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47% turut menjadi faktor utama strategi ini.

“Tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas dan ini jelas telah ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Feb lalu.

“Penyata kewangan berakhir 31 Dis 2023 telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50% bagi Simpanan Konvensional dan 5.40% bagi Simpanan Shariah,” katanya dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta menteri kewangan menjelaskan jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta.

Katanya, aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

“Sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (Voluntary General Offer, VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.

“KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan. Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.