Kos pajak helikopter lebih RM16 bilion liputi pakej 15 tahun, kata Khaled

Kos pajak helikopter lebih RM16 bilion liputi pakej 15 tahun, kata Khaled

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kerajaan tidak perlu membayar kos lain berbanding daripada membeli helikopter terbabit.

AgustaWestland AW139
Khaled Nordin berkata langkah memajak 28 helikopter AugustaWestland 139 turut beri manfaat kepada pemindahan kemahiran dan latihan. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin menegaskan kos pajakan 28 helikopter Augusta Westland 139 yang bernilai RM16.6 bilion dibuat kerajaan merangkumi pakej menyeluruh selama 15 tahun.

Beliau berkata kerajaan tidak perlu membayar kos-kos lain yang lebih menekan perbelanjaan yang tinggi jika membuat pilihan pembelian.

“Larut (Hamzah Zainudin dari PN) membuat perbandingan kos dikeluarkan Poland dalam pembelian 32 unit helikopter jenis AW 149 dengan harga kira-kira RM8.5 bilion yang dibeli pada 2022 berbanding harga pajakan 28 unit helikopter bernilai RM16.6 bilion oleh kerajaan.

“Jika kita menggunakan hujah Larut (Hamzah) dan mengambil harga dibayar Poland sebagai rujukan dan asas membeli secara terus 28 helikopter yang diperlukan oleh pelbagai agensi ini, kita akan perlu membayar kira-kira RM7.5 bilion,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian pada penggulungan titah diraja hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled berkata sedangkan realitinya harga tersebut hanyalah harga pembelian helikopter yang tidak termasuk kos lain tidak boleh dielakkan seperti penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan seperti simpanan alat gantian.

Katanya, dengan pilihan pakej pajakan, kerajaan tidak perlu menguruskan kos-kos lain terbabit selain kos latihan dan kursus kepada kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan.

“(Selain itu kos) pemindahan kemahiran dan latihan berterusan kepada jurutera dan juruteknik agensi-agensi pengguna.

“Penyediaan perlindungan insurans mencakupi aset, kesemua kru, penumpang dan pihak ketiga serta kos pembiayaan atau peminjaman,” katanya.

Minggu lalu, Hamzah yang juga ketua pembangkang mengkritik keputusan menyewa helikopter itu atas alasan pembelian terus daripada pengeluar hanya menelan belanja RM3.954 bilion.

Beliau mendakwa Poland membeli 32 helikopter AW139 pada kos USD2 bilion (RM3.95 bilion), termasuk pakej pemasangan dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.