
Beliau berkata, Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) menerusi 2024 ESCAP Population Data Insights mendapati kebanyakan negara di Asia Pasifik mencatatkan kadar kesuburan jumlah (TFR) bawah 2.1 kadar penggantian.
“Dalam tempoh 15 tahun ini, kadar tertinggi TFR di Malaysia dicatatkan pada 2011 dan 2012, iaitu 2.2. Sejak itu, negara kita menunjukkan trend TFR menurun.
“Bagaimanapun, TFR Malaysia buat kali pertama dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan 0.1 kepada 1.7 pada 2023 berbanding TFR 1.6 pada tahun sebelumnya,” katanya menurut Bernama dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung langkah kerajaan meningkatkan kadar kelahiran semakin menurun dan inisiatif menggalakkan rakyat menambah bilangan anak.
Nancy berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan TFR, termasuk faktor ekonomi dan gaya hidup yang boleh mempengaruhi keputusan seperti pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak serta masalah ketidaksuburan.
Menurutnya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) giat melaksanakan inisiatif menangani isu penurunan kadar kelahiran dan TFR termasuk Program Galakan Perkahwinan, perkhidmatan perancang keluarga serta berkaitan kesuburan.
“LPPKN menawarkan pelbagai inisiatif termasuk perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos berpatutan dan pengoperasian klinik kesejahteraan lelaki yang menyediakan khidmat nasihat masalah seksual serta rawatan meningkatkan kesuburan lelaki.”