
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata KKM masih menyiasat punca jangkitan yang menyebabkan satu kematian Isnin lalu.
“Punca belum dikenal pasti, tapi memang berkait rapat penyakit kusta dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Ada proses dan prosedur dalam menjalankan siasatan ini. Selepas maklumat diperoleh, kita akan uar-uarkan dan kajian terperinci perlu dilakukan,” katanya menurut Sinar Harian selepas pelancaran program Inisiatif Senaman Ringan Institusi Pendidikan Peringkat Kebangsaan di ibu negara.
Rabu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, seorang remaja perempuan 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia Isnin lalu akibat wabak kusta, manakala lapan lagi sedang dirawat.
Beliau berkata, kes itu mula dikesan 2 Jan lalu membabitkan sembilan Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur, dengan saringan sudah dijalankan KKM ke atas semua penduduk di dua kampung terbabit.