Hanya benarkan farmasi, pusat berhenti merokok jual vape, pakar gesa pihak berkuasa

Hanya benarkan farmasi, pusat berhenti merokok jual vape, pakar gesa pihak berkuasa

Bekas pengarah di KKM Dr Anita Suleiman juga mencadangkan had nikotin dalam cecair vape dan sekat perisa buah-buahan.

vape
Dr Anita Suleiman kata pihak berkuasa perlu had akses kepada perisa jika mahu kawal penggunaan vape.
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan menggesa pihak berkuasa hanya membenarkan vape dijual di farmasi dan pusat berhenti merokok berlesen, agar alat itu hanya boleh diperolehi oleh individu yang ingin berhenti merokok dan bukan untuk rekreasi.

Gesaan ini antara cadangan bekas pengarah kawalan penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Anita Suleiman, sekiranya pihak berkuasa mahu memanfaatkan vape dalam strategi pengurangan mudarat tembakau.

Beliau menjelaskan kawalan sebegitu akan membolehkan pemantauan khusus oleh pihak berkuasa, bersekali dengan bimbingan pakar kesihatan.

“Doktor dan ahli farmasi boleh memberi panduan kepada perokok tegar tentang cara menggunakan vape secara terkawal,” kata presiden Harm Reduction Action Network ini kepada FMT.

Anita turut mencadangkan pihak berkuasa menetapkan had nikotin dalam cecair vape untuk mengelakkan ketagihan lebih teruk, mengambil contoh langkah United Kingdom yang menetapkan 20mg.

“Pihak berkuasa juga perlu mengehadkan akses kepada perisa tertentu di mana perisa seperti tembakau boleh dibenarkan untuk perokok tegar, tetapi perisa buah-buahan dan gula-gula yang menarik minat remaja perlu disekat,” tambahnya.

Pada masa sama, pihak berkuasa perlu memastikan program sokongan pengubahan tingkahlaku berhenti merokok tersedia bersama penggunaan vape di mana kajian menunjukkan bahawa kombinasi antara vape dan kaunseling berhenti merokok meningkatkan kadar kejayaan berhenti merokok,” katanya.

Sementara itu, Anita maklum bahawa vape mempunyai risiko maka penggunaannya dalam usaha berhenti merokok perlu diberikan tempoh dan bukan untuk penggunaan jangka panjang.

Katanya, cecair vape tanpa bahan terlarang masih berisiko kerana nikotin boleh menyebabkan ketagihan.

“Tanpa dasar yang jelas, perokok tegar mungkin tidak mendapat akses kepada alternatif selamat dan terus bergantung kepada rokok konvensional yang lebih berbahaya seterusnya meningkatkan kebarangkalian penyakit-penyakit kronik termasuk kanser paru-paru,” katanya.

Cadangan ini senada dengan pandangan pakar lain sebelum ini, yang menggesa kerajaan hanya membenarkan vape dijual kepada perokok yang tidak boleh berhenti merokok dengan cara biasa.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, seorang pakar kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata remaja dan mereka yang tak merokok tanpa sebab tak perlu guna vape.

Katanya, masyarakat sendiri menyaksikan banyak penyalahgunaan vape, yang dijual secara berleluasa.

Pada 2 Feb lalu, Kementerian Kesihatan dilapor berkata ia sedia meneliti semula pengharaman vape secara menyeluruh, dan buat masa ini tumpuan diberikan kepada kawal selia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.