Disiplin, standard dorong pelajar bukan Cina ke sekolah Cina, kata ahli akademik

Disiplin, standard dorong pelajar bukan Cina ke sekolah Cina, kata ahli akademik

Teo Kok Seong berkata trend itu juga mencerminkan kebimbangan terhadap kualiti dan hala tuju sekolah kebangsaan.

Teacher Saw Shen Yuan
Sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Arau, Perlis mendapat perhatian baru-baru ini selepas semua murid Tahun 1 yang mendaftar ke sekolah itu tahun ini bukan berbangsa Cina. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persepsi bahawa sekolah Cina mengamalkan disiplin lebih ketat dan mengekalkan standard pendidikan tinggi mendorong peningkatan pendaftaran pelajar bukan kaum itu, kata seorang ahli akademik.

Bagaimanapun, Teo Kok Seong berkata, trend ini juga mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kualiti dan hala tuju sekolah kebangsaan.

Teo, yang juga felo kanan Majlis Profesor Negara, berkata ibu bapa berpendapat sekolah Cina menawarkan pendidikan berkualiti tinggi kerana budaya akademik yang ketat.

“Pengetua sekolah Cina sangat tegas. Mereka menetapkan standard tinggi untuk semua pihak patuhi,” katanya kepada FMT.

teo kok seong
Teo Kok Seong.

Katanya, guru di sekolah jenis Cina juga rajin dan menepati masa, sangat berbeza dengan budaya kerja di sekolah kebangsaan.

Beliau mengulas mengenai sebuah SJKC di Arau, Perlis yang mendapat perhatian selepas semua pelajar Tahun Satu yang mendaftar tahun ini bukan pelajar Cina.

Teo yang terlibat dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, berkata kerajaan sebelum ini menyasar untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama bagi pelajar dari semua latar belakang menjelang tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, sekolah kebangsaan kini semakin dilihat sebagai institusi berteraskan Islam berbanding konsep nasional, menyebabkan ibu bapa bukan Muslim mencari alternatif lain untuk anak mereka.

“Kerajaan tidak boleh mengetepikan kebimbangan ini. Dalam perniagaan, pelanggan sentiasa betul.

“Jika ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke tempat lain, itu menunjukkan sekolah kebangsaan gagal memenuhi jangkaan,” katanya.

‘Bukan lagi bertaraf dunia’

Bekas Ahli Parlimen Tawfik Ismail berkata sistem pendidikan Malaysia suatu ketika dahulu diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan institusi seperti Maktab Tentera Diraja (RMC), Victoria Institution (VI) dan St John’s Institution menawarkan pendidikan bertaraf dunia.

Tawfik Ismail
Tawfik Ismail.

Beliau berkata sekolah seperti VI menarik minat golongan elit dari Brunei dan Indonesia, manakala RMC dikenali dengan tenaga pengajar berkualiti tinggi.

“Kita perlu mengkaji semula pendekatan pendidikan kita untuk memperbaiki sekolah kebangsaan,” katanya kepada FMT.

Katanya, kemerosotan sekolah kebangsaan bermula pada awal 1970-an apabila kerajaan menukar bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Menurutnya, keyakinan terhadap sistem sekolah kebangsaan mula terhakis apabila buku teks dalam bahasa Melayu tidak mencukupi.

Sekolah ini juga menjadi terlalu nasionalisme, tambahnya.

Dorongan tribahasa

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, berkata faktor praktikal turut memainkan peranan dalam pemilihan sekolah oleh ibu bapa.

Noor Azimah Abdul Rahim
Noor Azimah Rahim.

Katanya, lokasi sekolah Cina yang berdekatan dengan kawasan perumahan serta saiz kelas yang lebih kecil membolehkan akses lebih mudah dan perhatian yang lebih khusus kepada pelajar.

“Ibu bapa menyedari kepentingan bahasa Mandarin, terutamanya dengan kedudukan strategik Malaysia yang berdekatan China, sebuah kuasa ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata, ramai ibu bapa kini mahu anak-anak mereka menguasai tiga bahasa.

Selain itu, mereka juga melihat kepada peluang pendidikan di peringkat lebih tinggi, memandangkan universiti di China semakin meningkat dalam kedudukan global.

Katanya, kerajaan juga sedang memperkukuh kerjasama dalam institusi yang menawarkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.