
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Daerah (BSPTD) Tangkak mengesan kenderaan terbabit dilarikan ke Sungai Rambai, Melaka, pada 10.50 pagi.
Menurut Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, pemilik lori terbabit sebelum itu menyedari kenderaannya hilang pada pagi Selasa lalu sebelum membuat laporan.
“Bertindak atas laporan diterima, anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Polis Batu Pahat menghebahkan kejadian itu melalui Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Polis Johor kepada semua petugas yang berada di lapangan.
“Pada hari sama, pegawai dan anggota BSPTD Tangkak mengesan kedudukan lori tangki itu di Melaka sekali gus membawa kepada penahanan suspek,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Katanya, suspek yang mempunyai 13 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah ditahan ketika sedang memandu kenderaan terbabit.
“Saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methampethamin.
“Dia direman tiga hari bermula semalam sehingga esok. Polis masih menjalankan siasatan berhubung motif tindakan suspek melarikan kenderaan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.