
Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas percubaan sejak bulan lalu untuk menghubungi Brian Chia bagi mendapatkan keterangannya.
Chia bertanggungjawab mengemukakan pandangan undang-undang untuk mewajarkan pindahan dana 1MDB USD700 juta kepada Good Star Limited, firma dikawal ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low.
“Kami meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan timbalan pendakwaraya bagi membantu mengesannya, namun mereka juga turut gagal mengesannya,” kata Wan Azwan.
Dalam maklum balas, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar berkata, pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik menjejak Chia.
Wan Azwan berkata, pihak pembelaan akan memanggil pegawai penyiasat SPRM Nasharudin Amir untuk memberi keterangan pada Jumaat.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang didakwa milik dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung esok.