Anak muda Malaysia pilih sektor 3D jika gaji adil, kata aktivis

Anak muda Malaysia pilih sektor 3D jika gaji adil, kata aktivis

Gopal Kishnam Nadesan berkata nisbah bahagian pendapatan pekerja kepada KDNK menunjukkan penurunan biarpun kerajaan berjanji meningkatkannya.

spm
Exco Pendidikan Johor Aznan Tamin baru-baru ini dilaporkan berkata remaja Malaysia bersedia berhenti sekolah untuk bekerja di Singapura kerana gaji yang lumayan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anak muda di negara ini sanggup bekerja dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) jika diberi gaji yang adil, kata seorang aktivis buruh.

Mengulas laporan pelajar dari Johor tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melakukan kerja berkemahiran rendah di Singapura, Gopal Kishnam Nadesan berkata isu yang dihadapi bukan sifat pekerjaan itu, tetapi gaji yang ditawarkan.

Setiausaha Agung Persatuan Solidariti Buruh dan Sumber Pembelajaran itu berkata kebanyakan anak muda terbabit bersedia melakukan pekerjaan 3D jika gajinya adil.

“Jika majikan Malaysia menawarkan gaji yang berpatutan, mengapa rakyat Malaysia menghabiskan 16 jam, termasuk berulang-alik, bekerja di Singapura?” katanya kepada FMT.

Utusan baru-baru ini melaporkan lebih 900 calon SPM Malaysia tercicir daripada peperiksaan, dengan sesetengahnya memilih untuk bekerja di Singapura kerana gaji yang lumayan, menurut Exco Pendidikan Johor Aznan Tamin.

Gopal berkata terdapat juga penurunan dalam nisbah bahagian pendapatan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) biarpun kerajaan berjanji untuk meningkatkannya kepada 40% menjelang 2025.

“Angka terkini menunjukkan ia sebaliknya telah menurun daripada 34.5% kepada 32.4%,” katanya yang menambah, jika trend pelajar berhenti menerima pendidikan formal berterusan, Malaysia akan kehilangan bakat tenaga kerja.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata walaupun trend itu mencabar persepsi bahawa rakyat Malaysia tidak mahu melakukan pekerjaan 3D, ramai pelajar mencari pekerjaan sedemikian di Singapura hanya untuk keuntungan kewangan segera.

“Realitinya ramai anak muda negara ini menceburi pekerjaan sebegitu di Singapura terutamanya untuk mencari keuntungan segera dan kebebasan kewangan.

“Keputusan mereka sebahagian besarnya didorong oleh kelebihan kadar pertukaran berbanding komitmen kerjaya jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.