
Pada Isnin, veteran parti S Neelamekan mendakwa ada kuasa luar mahu menyingkirkan Lim, sementara satu lagi sumber mendakwa pemimpin yang lebih ‘sederhana’ dicari bagi menarik sokongan pengundi Melayu.
Bagaimanapun, sumber dalaman itu menegaskan bahawa sentimen terhadap Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang selama dua penggal, telah lama wujud, terutama dalam kalangan ahli yang kecewa terhadap kritikan terbukanya kepada penyandang Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
“Tidak wujud ‘deep state’ atau usaha untuk menggulingkan pemimpin lama dalam parti. Tetapi memang wujud gerakan untuk menyingkirkan beliau,” kata sumber dari Pulau Pinang yang enggan dinamakan.
DAP akan mengadakan pemilihan parti pada 16 Mac ini.
Sumber itu juga berkata, ada ahli parti kurang senang dengan pengaruh keluarga Lim dalam kepimpinan DAP, merujuk kepada adik perempuannya, Lim Hui Ying, yang kini setiausaha DAP Pulau Pinang.
Mereka memberi amaran keadaan itu boleh menjejaskan nilai-nilai teras DAP.
“Pemimpin mesti dipilih berdasarkan merit,” kata sumber.
Tambah sumber, Lim juga dilihat sebagai “liabiliti semakin besar”, dengan ahli veteran bimbang dua kes rasuah yang dihadapinya mungkin menjejaskan imej DAP di mata umum.
Katanya, ahli veteran terima bahawa Lim dan bapanya Kit Siang sudah banyak berkorban untuk perjuangan parti.
“Ya, Guan Eng dan Kit Siang pernah dipenjara kerana memperjuangkan idealisme parti, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh terus kekal memimpin.
“Kamu (Lim) sudah dua penggal sebagai ketua menteri, bertahun-tahun sebagai Ahli Parlimen, dan Kit Siang sendiri sudah diiktiraf dengan gelaran Tan Sri dan Dato’ Seri,” kata sumber itu lagi.
Menurut sumber itu, pengkritik Lim tidak mahu beliau memegang jawatan pengerusi parti untuk satu penggal lagi, kerana ia akan meletakkan beliau dalam jawatankuasa lima anggota yang berkuasa bagi meluluskan calon pilihan raya.
FMT sedang mendapatkan reaksi Lim berhubung dakwaan ini.
Bagaimanapun, Ketua Cawangan DAP Lunas, Neelamekan, mempersoalkan masa dakwaan ini ditimbulkan.
“Mengapa ini tidak dikatakan pada konvensyen sebelum ini?” katanya.
“Dalam DAP, satu-satunya yang lantang bersuara adalah Guan Eng. Beliau adalah penghalang kepada pemimpin tinggi kerajaan daripada melakukan sesuka hati mereka. Satu-satunya mekanisme semak dan imbang adalah Guan Eng. Siapa lagi yang bersuara dalam DAP?” katanya.
“Dakwaan ‘nepotisme’ hanya alasan kumpulan ini,” kata Neelamekan.
Beliau turut mendakwa bahawa kes mahkamah yang dihadapi Lim bermotifkan politik.
“Malah peguamnya, Gobind Singh Deo, telah menyatakan bahawa terdapat bukti jelas bahawa kes terhadap Guan Eng direka-reka dengan cara menekan dan memalsukan bukti,” katanya.
Neelamekan menyeru ahli parti supaya mengekalkan Lim sebagai pengerusi.
“Beliau bukan pemimpin biasa yang boleh kita lepaskan begitu sahaja. Beri beliau satu lagi penggal,” katanya.