Wabak kusta, 1 Orang Asli maut di Kuala Pilah

Wabak kusta, 1 Orang Asli maut di Kuala Pilah

Lapan lagi Orang Asli turut dijangkiti wabak itu masing-masing di Kampung Chergun dan Kampung Guntur.

Kusta, yang juga dikenali sebagai penyakit Hansen, berlaku akibat jangkitan disebabkan pertumbuhan perlahan bakteria dipanggil mycobacterium leprae. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wabak kusta dalam kalangan Orang Asli di Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyaksikan seorang maut, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Beliau berkata, lapan lagi Orang Asli di perkampungan itu turut dijangkiti penyakit berkenaan, melibatkan Kampung Chergun dan Kampung Guntur.

Katanya, susulan itu kedua-dua perkampungan tersebut dikuarantin mengambil kira kematian seorang remaja perempuan 18 tahun, yang sudah mengalami demam seminggu.

Menurut Kosmo, penduduk terjejas melibatkan mangsa berusia tujuh hingga berusia 85 tahun dengan masing-masing lima dari Kampung Chergun dan empat dari Guntur disahkan mengidap kusta, pada 2 Jan.

“Kita minta juga Jeram Tengkek yang terletak berhampiran perkampungan itu ditutup sementara waktu untuk melihat perkembangan kes kusta ini. Penyakit ini boleh merebak dan kita fikir langkah mencegah lebih baik.

“Penyakit ini sudah lama tiada dan kita sebolehnya kena kawal (kuarantin) dahulu termasuk kawasan berhampiran. Kita mahu elak orang ramai menghampiri kawasan wabak,” katanya menurut laporan itu di selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Seremban.

Kusta, yang juga dikenali sebagai penyakit Hansen, berlaku akibat jangkitan disebabkan pertumbuhan perlahan bakteria dipanggil mycobacterium leprae.

Mangsa boleh menjadi cacat atau hilang fungsi pada tangan atau sendi kesan daripada penyakit itu.

Jumlah kes kusta di negara ini menunjukkan peningkatan daripada 142 pada 2021 kepada 183 tahun berikutnya, dan 256 pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.