Saya dengar suara Zayn Rayyan ketika pencarian, pengasuh beritahu mahkamah

Saya dengar suara Zayn Rayyan ketika pencarian, pengasuh beritahu mahkamah

Auni Afiaqah Abas berkata polis merakam keterangan beberapa kali kerana tidak puas hati dengan maklum balasnya.

Ismanira Abdul Manaf Zaim Ikhwan Zahari
Ismanira Abdul Manaf dan suami, Zaim Ikhwan Zahari, dituduh mengabaikan anak tahun lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh memberitahu Mahkamah Sesyen dia mendengar suara Zayn Rayyan Abdul Matiin berdekatan bangunan apartmen, ketika mencari kanak-kanak itu selepas beberapa jam kehilangannya.

Auni Afiaqah Abas, 30, berkata dia dan adik lelakinya mula mencari kanak-kanak autisme berusia enam tahun berkenaan, sekitar 6.30 petang, pada 5 Dis 2023, selepas kembali daripada kerja.

“Saya dengar suara Zayn Rayyan seolah-olah dia cuba melepaskan diri daripada seseorang,” dakwanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan.

Auni, 30, berkata dia cukup mengenali suara Zayn Rayyan kerana menjadi pengasuh kanak-kanak tersebut dan adik lelakinya, Mateen, yang juga autisme, hampir setahun.

Saksi pendakwaan ke-17, yang menetap di Blok F, memberi keterangan bahawa dia mendengar suara dari Blok R dengan beberapa kanak-kanak lain juga mengesahkan mendengar suara tersebut.

Pada masa itu, ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, telah pergi membuat laporan kehilangan orang di Balai Polis Damansara Damai.

Auni berkata, dia memberitahu polis mengenai perkara berkenaan dan kemudian memaklumkannya kepada portal berita ketika diwawancara.

Wanita itu berkata, polis juga beberapa kali mengambil keterangannya kerana pihak berkuasa tidak berpuas hati dengan maklum balas diberikan.

“Saya tidak ingat berapa kali polis datang, tapi ini semua kerana peranan saya sebagai pengasuh,” katanya sambil menambah dia konsisten dalam keterangan diberikan.

Menurut Auni, Ismanira merupakan ibu penyanyang dan satu-satunya yang dapat menenangkan Zayn Rayyan ketika tantrum.

Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, Auni berkata Ismanira kebiasaanya menurunkan Zayn Rayyan di rumahnya sekitar 1 tengah hari setiap hari selepas mengambilnya dari sekolah.

Pada 5 Dis 2023, dia berkata Ismanira datang ke rumahnya kira-kira 1 tengah hari dan memaklumkan bahawa Zayn Rayyan sudah hilang kira-kira sejam sebelum itu.

Ismanira ada memberitahu polis yang Zayn Rayyan sukar dan enggan menuruti arahan sebelum kehilangannya pada hari kejadian. Dia berjalan di hadapan dengan anaknya mengikuti di belakang, katanya.

Ismanira dan Zaim, kedua-dua berusia 30 tahun, minta dibicarakan atas pertuduhan pengabaian anak pada 13 Jun tahun lalu. Kesalahan didakwa berlaku di PJU Damansara Damai, antara 12 tengah hari pada 5 Dis dan 9.55 malam pada 6 Dis 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023, dan jasadnya dijumpai dekat aliran anak sungai berdekatan kediamannya sehari selepas itu. Dia dipercayai dibunuh, selepas bedah siasat menunjukkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten ketika mempertahankan diri.

Pendengaran bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.