‘Sakit presiden ubatnya mikrofon,’ pemimpin PAS tepis faktor kesihatan ketepi Hadi

‘Sakit presiden ubatnya mikrofon,’ pemimpin PAS tepis faktor kesihatan ketepi Hadi

Dr Yunus Hairi berkata Hadi Awang masih diperlukan sebagai presiden kerana mempunyai ilmu luas untuk mengemudi parti.

hadi
Dr Yunus Hairi menjawab keraguan terhadap tahap kesihatan Hadi Awang dengan mengatakan beliau masih berkongsi ilmu secara luar biasa dalam sesi ceramah.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS menepis faktor kesihatan Hadi Awang perlu dijadikan perdebatan untuk beliau tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Bercakap kepada FMT, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Yunus Hairi menjawab keraguan itu dengan menegaskan Ahli Parlimen Marang itu masih berkemampuan untuk berkongsi ilmu secara luar biasa dalam sesi ceramah.

Dr Yunus Hairi
Dr Yunus Hairi.

“Saya lihat presiden ini bila dapat mikrofon dia lain, sakit dia, ubatnya mikrofon,” katanya berseloroh menjawab persoalan berhubung tahap kesihatan Hadi yang dikatakan menjadi punca ada gesaan supaya dirinya memberi laluan kepada pemimpin PAS lain.

Walaupun belum ada sebarang pengumuman tarikh penting berkait pemilihan PAS, pelbagai spekulasi mula bertiup kencang termasuk kedudukan Hadi sebagai ketua parti itu sejak 2002 menggantikan Fadzil Noor yang meninggal dunia.

Baru-baru ini, FMT memetik sumber melaporkan jawatan disandang Hadi dan timbalan presiden yang diduduki Tuan Ibrahim Tuan Man mungkin dipertandingkan jika kedua-duanya memberi laluan kepada pemimpin lain pada pemilihan dijangka September depan.

Difahamkan ada permintaan supaya Hadi berbuat demikian atas faktor kesihatan. Begitu juga Tuan Ibrahim yang dikatakan mahu memberi laluan namun hasrat terbabit dikatakan dibantah kumpulan pro ulama.

Difahamkan Hadi dikatakan akan diberi peranan sebagai mursyidul Am PAS yang kini ditugaskan kepada bekas Adun Sanglang Hashim Jasin sejak Oktober 2016.

Mengulas lanjut, Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata parti itu masih memerlukan kepimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim yang mentadbir PAS secara bijak.

“Presiden adalah pengemudi utama, kebijakan dalam politik dan hujahan diberikan penuh fakta, tak boleh sangkal, ilmu sangat baik,” katanya.

PAS mampu menang 70 kerusi

Turut senada dengannya AJK PAS Terengganu Hanafiah Mat yang berharap tidak berlaku sebarang pertandingan bagi dua jawatan utama kerana kewibawaan Hadi dan Tuan Ibrahim telah terbukti sehingga parti itu menang 43 kerusi pada PRU15.

Adun Chukai berkata peranan mereka masih diperlukan untuk menerajui PAS bagi mencapai keputusan lebih cemerlang pada PRU16.

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat.

“Saya sasar PRU16 (di bawah pimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim) dapat 70 kerusi. Saya harap kekal sedia ada. Walaupun ada masalah kesihatan, Hadi masih boleh melaksanakan dasar kerana fikirannya sangat baik,” katanya.

Beliau turut mengakui ada mendengar khabar angin Hadi akan menggantikan Hashim selepas pemilihan kelak.

“Hal itu tidak boleh dinafikan tapi akar umbi masih harap Hadi memegang jawatan presiden untuk PRU16,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.