Pertembungan generasi punca pertelingkahan dalam DAP, kata penganalisis

Pertembungan generasi punca pertelingkahan dalam DAP, kata penganalisis

Pemimpin muda mahu DAP mengikis imej pembangkangnya dan menarik pengundi Melayu, meningkatkan ketegangan dan mencetuskan spekulasi mengenai masa depan Lim Guan Eng.

lim guan eng, steven sim n anthony loke siew fook
Pengerusi DAP Lim Guan Eng dikatakan tidak ‘sebulu’ dengan Setiausaha Penganjung Steven Sim, manakala Setiausaha Agung parti Loke Siew Fook disebut-sebut sebagai ‘poster boy’ untuk PRU16.
PETALING JAYA:
Perselisihan yang nyata dalam DAP, menjelang pemilihan parti akan datang, berpunca daripada pertembungan antara veteran parti dan pemimpin mudanya, kata seorang penganalisis politik.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata puak yang lebih muda daripada pemimpin yang akan datang mendesak DAP mengikis imej pembangkangnya dan menjadi ‘arus perdana’.

Mereka juga mahu parti itu lebih menarik minat pengundi Melayu, katanya.

Chin berkata pertembungan antara generasi bukan mengenai ideologi, kerana semua orang dalam DAP menyokong visi parti itu iaitu ‘Malaysian Malaysia’.

“Perpecahan berlaku antara mereka yang percaya DAP tidak lagi boleh beroperasi dengan pemikiran pembangkang dan mereka yang masih melihat parti itu sebagai kuasa semak dan imbang.

“DAP telah dua kali berada dalam kerajaan di peringkat persekutuan dan telah mentadbir Pulau Pinang selama tiga penggal. Ini telah membawa kepada kumpulan dalam parti yang menyokong peralihan ke arah arus perdana politik.

“Peralihan dalaman sebahagian besarnya adalah generasi. Puak yang lebih tua percaya DAP perlu terus bertindak sebagai pemerhati, manakala puak yang lebih muda menegaskan penyertaan aktif dalam kerajaan untuk mewakili masyarakat Cina,” katanya kepada FMT.

Chin berkata puak muda itu juga mahu DAP melepaskan diri daripada bergantung kepada pengundi Cina dan menarik lebih ramai sokongan Melayu.

“Dengan pecahnya kesetiaan politik Melayu antara PKR, Umno, Bersatu dan PAS, ada peluang untuk DAP menarik pengundi Melayu, khususnya di Pulau Pinang. Parti itu juga boleh menyasarkan pengundi India.”

Ini, tambahnya, telah membawa kepada desakan agar pengerusi dan pemimpin lama DAP Lim Guan Eng digulingkan daripada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) dalam pemilihan parti bulan depan.

Pada Isnin, sekumpulan ahli veteran DAP mendakwa wujudnya suatu ‘daulah terpendam’ dipengaruhi ‘pihak luar’,cuba membentuk semula parti itu untuk menggembirakan pengundi Melayu, yang dikatakan lebih suka pemimpin yang lebih sederhana.

Pemimpin akar umbi veteran DAP S Neelamekan berkata ini boleh menyaksikan Lim disingkirkan daripada 30 anggota CEC DAP bulan depan, atau undinya berkurangan secara drastik.

Beliau juga berkata isu pembantu Lim menganggu Steven Sim pada satu majlis malam Sabtu menunjukkan pertelingkahan terbuka antara puak mereka. Pembantu itu, Tan Khong Chong, telah memohon maaf kepada parti atas tindakannya.

Sementara itu, Asrul Hadi Abdullah Sani, dari ADA Asia Tenggara, tidak menjangkakan DAP akan membiarkan akar umbi memilih kepimpinan parti itu semata-mata untuk menarik minat orang Melayu.

“Perspektif ini mungkin berpunca daripada naratif luar yang menunjukkan bahawa kepimpinan Lim boleh menyebabkan Pakatan Harapan kehilangan lebih banyak kerusi dalam PRU akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.