Mahkamah Tinggi akan dengar saman Azizi hilang keahlian Bersatu

Mahkamah Tinggi akan dengar saman Azizi hilang keahlian Bersatu

Tetapi permohonan bekas Adun Nenggiri berkaitan PRK DUN Nenggiri ditolak.

Mohd Azizi Abu Naim
Mahkamah memutuskan saman bekas Adun Azizi Abu Naim berhubung pemberhentian keahlian dalam Bersatu menimbulkan isu undang-undang.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu dan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman difailkan bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, berhubung pemberhentian keahliannya dalam parti itu.

“Selepas menyemak saman pemula itu, mahkamah ini mendapati permohonan plaintif (Azizi) menimbulkan isu undang-undang dan fakta boleh dipertikaikan,” kata Hakim Roz Mawar Rozain.

Beliau menetapkan 28 April ini untuk mendengar kes itu.

Tetapi, hakim membenarkan permohonan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan timbalannya Hamzah Zainudin (sebelum ini setiausaha agung) serta Speaker DUN Kelantan Amar Abdullah supaya menolak permohonan membatalkan PRK DUN Nenggiri oleh Azizi.

PRK itu diadakan pada Ogos tahun lalu.

Roz Mawar berkata Mahkamah Tinggi bukan forum sesuai untuk mendengar permohonan sedemikian dan Azizi sepatutnya memfailkan kes melalui petisyen pilihan raya.

Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, antara enam wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau dibenar mengekalkan kerusi Parlimen selepas Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak permintaan Bersatu supaya kerusi itu dikosongkan.

Dalam saman yang difailkan Jun tahun lalu, Azizi berhujah pindaan Fasal 10 perlembagaan Bersatu tidak mengikut Perlembagaan maka perlu dibatalkan mahkamah.

Fasal itu menyatakan keahlian Bersatu akan terhenti jika ahli terbabit menyokong pesaing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.