
“Kalau saya lantik syarikat kroni, takkan saya bodoh nak umumkan syarikat-syarikat ini secara terbuka?
“(Syarikat-syarikat ini) pohon dan dibuat penilaian oleh jawatankuasa teknikal bawah JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya dalam sebuah video TikTok.
Minggu lepas, aktivis Ahmad Aliff AS Ahmad Shariffuddin mendakwa monopoli tiga dekad Puspakom dalam industri pemeriksaan kenderaan bermotor akan digantikan oleh syarikat kroni yang dikaitkan dengan kerajaan.
Kerajaan telah melantik Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum dan Beriman Gold untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan bermotor bersama Puspakom, yang akan terus beroperasi seperti biasa.
Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin mempersoalkan kriteria teknikal yang digunakan untuk memilih tiga syarikat itu, berkata syarikat-syarikat tersebut tidak mempunyai pengalaman terdahulu.
Dalam videonya, Loke berkata, tiada syarikat mempunyai pengalaman terdahulu dalam sektor pemeriksaan kenderaan kerana selama ini, hanya Puspakom dibenarkan menyediakan perkhidmatan sedemikian di Malaysia.
“Pada tahun lalu, konsesi Puspakom selama 30 tahun telah tamat,” katanya.
“Kalau kita sambung konsesi untuk Puspakom, maksudnya orang ramai tak ada pilihan. Tetapi kerajaan telah membuka pasaran ini (kepada syarikat lain sebagai persaingan).”
Loke juga menafikan dakwaan beliau cuba memecahkan monopoli Puspakom kerana ia dimiliki Bumiputera. Menurutnya, tiga syarikat yang disenarai pendek itu juga milik Bumiputera.
Sambil menyatakan bahawa dasar kerajaan adalah untuk menggalakkan persaingan, beliau berkata, syarikat Bumiputera lain juga perlu ditawarkan peluang untuk menawarkan perkhidmatan mereka.
Minggu lepas, Loke berkata, bukan ketiga-tiga syarikat itu sahaja yang layak dan pihak lain juga boleh memohon untuk menyediakan perkhidmatan memeriksa kenderaan.
“Itu yang kita kesal … apa sahaja isu yang nak dimainkan, mesti nak dikaitkan dengan isu perkauman.
“Kita hanya lihat kebaikan untuk negara, kebaikan untuk rakyat,” katanya hari ini.