
JK Harmoni dalam kenyataan, berkata wakil Buddha dan Kristian masing-masing mempunyai empat tokoh; dua tokoh masing-masing dari Hindu dan Tao; serta masing-masing satu tokoh dari Sikh, Bahai, dan UNIFOR Sarawak.
Katanya, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata jawatankuasa berkenaan merupakan platform membincangkan mengenai usaha pengukuhan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama, dan budaya di Malaysia.
Aaron berkata, pihaknya akan terus melaksanakan program berbentuk dialog antara agama dan pendidikan, mengenai pentingnya menghormati kepercayaan orang lain, dan menggalakkan aktiviti sosial melibatkan pelbagai komuniti agama.
“Ini bertujuan memupuk rasa saling memahami dan menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia. Aaron berharap agar program Jejak Harmoni dapat dilaksanakan di semua negeri sebagai usaha meningkatkan keharmonian dalam kalangan penganut agama di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan keyakinan jawatankuasa itu akan dapat merumuskan resolusi memberi impak signifikan kepada keharmonian negara, berlandaskan prinsip keadilan, toleransi, dan saling memahami.
JK Harmoni berkata, Na’im turut memberi jaminan pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan terus memberi sokongan kepada usaha memastikan hubungan dan kerjasama antara agama di negara terus kukuh.
“Beliau percaya hasil daripada mesyuarat ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan perpaduan nasional demi memastikan masa depan negara yang harmoni dan inklusif untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, JK Harmoni berkata mesyuarat hari ini turut dimaklumkan 215 kes mediasi selesai dilaksanakan tahun lalu di lapan Pusat Mediasi Komuniti di seluruh negara.
Pusat terbabit berperanan menyelesaikan konflik peringkat akar umbi sebagai platform bukan perundangan (litigasi).