Had belian BNPL kepada keperluan bernilai tinggi, gesa pakar

Had belian BNPL kepada keperluan bernilai tinggi, gesa pakar

Chakrin Utit kata sistem BNPL menggalakkan perbelanjaan impulsif disebabkan pengguna tidak perlu membayar serta-merta.

Industri BNPL mencatatkan pendedahan kredit sebanyak RM1.42 bilion pada akhir suku pertama 2024, menurut laporan.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan digesa mengehadkan penggunaan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later atau BNPL) kepada pembelian ‘barangan keperluan bernilai tinggi’, selepas industri BNPL mencatatkan pendedahan kredit sebanyak RM1.42 bilion.

Chakrin Utit, pakar kewangan dan ekonomi dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM), mencadangkan penggunaan BNPL dihadkan kepada pembelian barangan keperluan bernilai tinggi yang boleh dianggap sebagai ‘pelaburan jangka panjang’, seperti telefon pintar, komputer peribadi, dan kelengkapan elektrik rumah.

“Untuk mengelakkan penyalahgunaan BNPL bagi pembelian kecil, had minimum pembelian juga boleh ditetapkan pada RM500 dan ke atas,” katanya kepada FMT.

Chakrin Utit.

Cadangan itu antara beberapa langkah wajar bagi menangani risiko skim BNPL menjadi ‘perangkap hutang’, katanya.

Laporan Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) pada Julai tahun lalu melaporkan industri BNPL mencatatkan pendedahan kredit atau baki jumlah tertunggak sebanyak RM1.42 bilion pada akhir suku pertama 2024, meningkat sebanyak 34% peratus dari akhir tahun 2023.

Menurut CCOB, sebanyak 3.8% pemegang akaun BNPL yang aktif terlepas pembayaran mereka dan direkodkan sebagai tertunggak pada akhir suku pertama 2024 berbanding 5.8% peratus pada akhir suku pertama 2023, lapor Berita Harian.

Chakrin berkata sistem BNPL menggalakkan perbelanjaan impulsif disebabkan pengguna tidak perlu membayar serta-merta, menyebabkan mereka kurang mempertimbangkan kesan kewangan.

“BNPL tidak memerlukan semakan kredit yang ketat, menyebabkan ramai individu berpendapatan rendah atau yang sudah mempunyai komitmen kewangan tinggi turut diberikan akses kepada kemudahan ini, sekali gus meningkatkan risiko ketidakmampuan membayar semula,” tambahnya.

Bagi mengelakkan BNPL menjadi punca krisis hutang dalam kalangan pengguna, mekanisme kelulusan BNPL perlu diperketat dengan semakan kredit minimum bagi memastikan hanya individu yang berkemampuan diberi akses kepada kemudahan itu.

“Had kredit BNPL juga harus disesuaikan dengan tahap pendapatan pengguna bagi mengelakkan perbelanjaan yang melebihi kemampuan,” tambah Chakrin.

Selain itu, beliau mencadangkan bayaran ansuran kepada penyedia BNPL tidak lagi boleh dilakukan menggunakan kad kredit, untuk pertimbangan Bank Negara (BNM).

“Ini untuk mengelakkan pengguna terperangkap dalam dua sistem kredit berbeza dalam masa sama,” katanya.

Chakrin juga mencadangkan BNM mewajibkan penyedia BNPL melaporkan data kredit pengguna kepada sistem pemantauan kredit, seperti Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), bagi memastikan pengguna tidak mengambil terlalu banyak komitmen BNPL daripada pelbagai penyedia secara serentak.

“Keperluan untuk ketelusan dalam caj dan penalti juga perlu dipertingkatkan agar pengguna boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang jelas. Kadar faedah siling juga boleh diperkenal bagi mengelakkan pengguna dikenakan caj berlebihan,” tambahnya.

Chakrin menyimpulkan bahawa BNPL, yang menawarkan kemudahan pembayaran yang lebih fleksibel, merupakan inovasi kewangan yang boleh memberi manfaat kepada pengguna jika digunakan secara bertanggungjawab.

Abdul Rahim Abdul Samad.

“Namun, tanpa kawalan yang ketat, ia boleh menjadi punca krisis hutang peribadi yang serius,” katanya, menegaskan langkah wajar harus diambil bagi memastikan skim itu kekal sebagai alat kewangan yang membantu, bukan membebankan.

Sementara itu, pakar ekonomi dari UPM, Abdul Rahim Abdul Samad, berkata BNM mengambil beberapa langkah seperti memperkenalkan dokumen dasar BNPL yang antaranya menetapkan individu muftis tidak dibenarkan menggunakan kemudahan itu.

“Langkah-langkah pengawalseliaan yang diperkenalkan oleh BNM adalah penting untuk memastikan industri BNPL berkembang secara mampan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan isi rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.