
Beliau berkata, kenyataan Ahmad Marzuk Shaary dari PAS juga berunsur provokasi.
“Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih bijak dan jangan mengapi-apikan sentimen (perkauman) atau membangkitkan hal seperti ini,” katanya selepas menghadiri acara Komunikasi Impak untuk komunikasi korporat.
Menurutnya, Ahli Parlimen perlu menggunakan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu secara bertanggungjawab bagi memupuk perpaduan, bukannya menimbulkan ketakutan dan perpecahan tidak perlu.
Semalam, Marzuk dilaporkan berkata, akta anti diskriminasi yang dicadangkan Lim Guan Eng dari DAP boleh menyebabkan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 berulang.
Beliau berkata, akta sedemikian seperti “pintu belakang” untuk menghapuskan hak dan keistimewaan Bumiputera, yang akan mengganggu-gugat keharmonian kaum di Malaysia.
Lim mencadangkan penggubalan akta anti diskriminasi kaum susulan isu perkauman membabitkan tokoh politik dan ekstremis, dengan memetik insiden terbaharu melibatkan seorang penjaja di Sepang.
Penjual jagung itu mencetuskan kontroversi apabila mempamerkan papan tanda berunsur perkauman yang menyatakan produknya tidak dijual kepada kaum India. Dia sudah meminta maaf, tetapi ditahan polis kemudian.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang menolak cadangan Lim dengan berkata, akta sedemikian tidak perlu kerana undang-undang sedia ada mencukupi untuk menangani kesalahan kaum dan agama.
Fahmi berkata, ramai daripada pihak pembangkang tidak bertanggungjawab.
“Mereka sepatutnya mematuhi titah nasihat Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) supaya menggunakan Dewan untuk membangkitkan isu yang boleh memupuk perpaduan, bukannya momokan dan menimbulkan ketakutan seperti yang dilakukan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.”