
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhujah mahu penyelesaian satu negara iaitu hanya Palestin, selepas kekejaman dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Apabila disebut ‘two state solution’ (penyelesaian dua negara), sudah tentu Palestin dan satu lagi Israel. Kalau kita memaksa negara ini dan dunia menerima ‘two state solution’, inilah ‘solution’ (penyelesaian) dikehendaki oleh Israel dan musuh-musuh. Ini satu muslihat politik,” katanya.
Berucap di Dewan Rakyat, Afnan memuji Menteri Luar Mohamad Hasan dalam kenyataan baru-baru ini bahawa Palestin perlu bebas dan aman, namun tidak bersetuju Malaysia menerima penyelesaian dua negara.
Katanya, pasport Malaysia menyatakan ia boleh digunakan di semua negara, kecuali Israel.
“Kalau tidak kenapa kita letak dalam pasport kita ini boleh digunakan dalam semua negara kecuali Israel.
“Tidak ada makna ditulis dalam pasport…tapi kita menyebut kita terima ‘two state solution’,” katanya.
Afnan berkata, menerima penyelesaian dua negara boleh dianggap menyokong tindakan Israel.
“Paling kurang pun jangan sebut kita menerima ‘two state solution’. Apa makna kita nak menghalalkan segala kekejaman dan kezaliman yang mereka melakukan kepada rakyat Palestin?” soalnya.
Malaysia sejak sekian lama menyokong teguh Palestin, konsisten mengutuk tindakan Israel di Palestin.